MALAYSIA memilih untuk mengamalkan kesederhanaan. Ini harus dipertahankan sepanjang masa.
Meluahkan pandangan melampau peribadi mengenai agama secara terbuka tanpa usul periksa terhadap sesuatu insiden atau isu akan hanya menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama.
Kita bukan hidup dalam keterasingan tetapi perlu menghormati satu sama lain.
Negara ini sebenarnya mempunyai model perpaduan yang menjamin hak masyarakat majmuk

secara adil dan seimbang serta terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Maka semua kaum tidak harus berasa terancam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing, serta tidak perlu khuatir akan kehilangan identiti mereka.
• Perbezaan adalah kekuatan
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, perbezaan agama, bahasa dan warna kulit telah menjadikan masyarakatnya kaya dengan pelbagai budaya.
Perbezaan inilah menjadi kekuatan. Bukan kelemahan dalam pembentukan bangsa Malaysia, unity in diversity (perpaduan dalam kepelbagaian).
Meskipun ada cakap-cakap cabaran untuk Malaysia di penghujung tahun ini dan memasuki tahun baharu 2019 nanti agak sukar dijangka rupa bentuknya, namun paling utama negara perlu berwaspada setiap masa dalam menguruskan kerumitan berbilang kaumnya.
Diakui, tanpa isu-isu dan cabaran politik, kerajaan adalah hambar dan legap, tanpa keseronokan dan keghairahan untuk kebaikan. Tetapi pada masa sama, tanpa kesediaan mengakui kesilapan, ia juga membawa padah. Ini memandangkan sebuah kerajaan itu secara demokratiknya bergantung kepada sentimen-sentimen dan sokongan rakyat.
Dan politik bukanlah tempatnya di mana nasib memainkan peranan yang terlalu besar. Dalam politik, pilihan kaedah pemandu-automatik tidak membantu untuk mencapai kejayaan. Semua perkara harus dirancang dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa.
• Hujah rasional
Politik yang tidak bersandarkan hujah-hujah yang rasional akan sentiasa menghasilkan perkara-perkara negatif. Dari tahun 2006 hingga 2011, rakyat melihat kejadian-kejadian menjijikkan seperti mencemar masjid dan kuil, melontar kepala lembu ke dalam kawasan kuil-kuil Hindu dan kepala khinzir ke dalam kawasan-kawasan masjid dan surau terutamanya selepas Mac 2010. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perkataan `Allah’ digunakan di sesetengah terbitan-terbitan Katolik.
Pada Julai 2010, Kuala Lumpur dibanjiri pula oleh kumpulan-kumpulan politik berbaju kuning yang dipanggil Bersih II menuntut perubahan-perubahan di dalam pilihan raya dan lain-lain perkara di dalam masyarakat.
Terbaharu sehari dua ini, insiden rusuhan di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights dekat Shah Alam.
Di sebalik ini, adalah sesuatu yang benar untuk mengatakan bahawa Parlimen telah memberi kesan kepada kehidupan semua lapisan masyarakat rakyat Malaysia. Ia telah meluluskan tidak kurang 2,170 undang-undang utama melalui pelbagai akta di Parlimen dan pindaan-pindaan mereka. Dengan keahlian seramai 104 orang pada 1959, kini ia telah menjadi seramai 222 orang ahli yang mewakili empat parti kerajaan, pembangkang selain parti bebas.
Badan perundangan negara turut berjaya melalui sekurang-kurangnya dua perisytiharan Darurat, 15 Yang di-Pertuan Agong dan tujuh kepimpinan Perdana Menteri.
Walaupun kebelakangan ini, dengan pertukaran kerajaan buat pertama kali sejak merdeka dan keadaan Parlimen mencerminkan satu manifestasi `mudah tersinggung dan panas’, demokrasi di Malaysia sebenar-benarnya telah wujud.
Ini lebih-lebih lagi kini dengan kemunculan hak-hak asasi manusia yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, walaupun undang-undang pro-Eksekutif seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Enakmen Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di bawah undang-undang generik kuasa dan perintah telah dipinggirkan selepas 2008.
• 25 juta pengguna Internet
Kini, cabaran Malaysia tidak terhad semata-mata isu-isu domestik tetapi melangkaui ke arena global. Isu-isu global tempoh hari seperti kehilangan pesawat MH370, penembakan MH17 di timur Ukraine tempoh hari serta keganasan kumpulan Daesh yang semakin reda, mempengaruhi sentimen politik negara. Ia seterusnya diharungi cabaran getir oleh kerajaan.
Apatah lagi dengan bilangan pengguna Internet negara menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.
Daripada jumlah berkenaan, 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social.
Ini ditambah pula dengan kadar penembusan jalur lebar isi rumah meningkat kepada 70 peratus manakala berikutan kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat hampir 50 juta langganan.
Sebab itu, ahli politik kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan ideologi, fahaman, tohmahan dan fitnah yang berleluasa dalam negara waktu ini.
• Polarisasi kaum
Edmund Burke yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quatations (3rd. Edn.) 1980 memberi pengertian mengenai peranan ahli politik.
“Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia tuhan dan mematuhi pemikiran/munasabah (Every politician ought to sacrifice to the grace and to join compliance with reason). Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadang-kala menyatakan bahawa politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang yang meminati bidang politik. Dia sewajarnya seorang yang mempunyai sifat reaksioner untuk bertahan dalam keperitan kerja-kerja rutinnya.
Aset, kekuatan dan daya tahan negara Malaysia terletak dalam pembentukan kaum yang pelbagai, iaitu masa depan yang berbilang budaya dan kaum.
Tetapi perbilangan kaum ini di tahap runcing jika ia tidak dipupuk setiap masa dengan prinsip penggabungan dan penerapan nilai-nilai sejagat.
Dengan mempertimbangkan polarisasi kaum terutamanya melalui budaya yang tidak terkawal dan keterlaluan agama hanya akan menjadi berkesan dengan satu pelaksanaan undang-undang yang ketat.
Adakah mungkin ini masa yang sesuai untuk mempertimbangkan penggubalan undang-undang Akta Hubungan Kaum (RRA) – yang merangkumi aspek mengeratkan perpaduan sosial dan mungkin mentakrifkan pantang larang undang-undang dalam masyarakat berbilang kaum.
Britain telah berjaya dalam hal ini dan masalah perkauman serta perkara berbau diskriminasi telah berjaya dikawal.










