KUANTAN 14 Nov. – Perpustakaan Awam negeri di Jalan Kemunting di sini dinamakan sebagai Perpustakaan Sultan Haji Ahmad Shah sempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada tahun ini.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda mencadangkan nama tersebut sesuai dengan keperibadian Sultan Ahmad Shah yang disifatkan sebagai ‘ulat buku’.
“Saya ingin berkongsi bahawa ayahanda gemar membaca buku. Jika saya menghadap di bilik peraduan baginda, saya perlu melalui kiri dan kanan pelbagai jenis bahan bacaan.
“Minat sultan membaca buku sewaktu berehat dan terdapat pelbagai koleksi peribadi membuatkan baginda sangat berpengetahuan luas dengan ilmu dan fakta menarik,’’ titah baginda ketika berangkat merasmikan Perpustakaan Awam negeri di sini kelmarin.
Berangkat sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah mahu melihat anak-anak Pahang menjadikan semua 74 perpustakaan sama ada daerah atau desa sebagai gedung ilmu.
“Sikap suka membaca bahan berkualiti dapat membina generasi masa depan yang berilmu, berhemah, berintegriti dan berpengetahuan dengan berada di landasan terbaik.
“Sebenarnya saya sendiri ada memori dengan perpustakaan semasa belajar di England. Akibat kepenatan bermain bola, saya tertidur ketika sedang menyiapkan homework di perpustakaan sehingga dikejutkan guru bertugas,’’ titah baginda.










