Perodua jual 500,000 buah EEV - Utusan Malaysia

Perodua jual 500,000 buah EEV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Pero­dua) telah menghasilkan dan menjual 500,000 buah kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia, sekali gus me­ngukuhkan kedudukannya sebagai syarikat EEV nombor satu negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, perjalanan EEV Perodua bermula pada 2014 dengan model Axia, EEV pertama negara di­ikuti dengan Bezza dua tahun kemudian dan seterusnya Myvi baharu pada 2017.

“Dalam tempoh itu, 342,600 buah Axia, 130,000 buah Bezza dan lebih 75,000 buah Myvi baharu telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak kerajaan memper­kenalkan klasifikasi EEV dalam Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), lebih daripada 344,000 buah Axia, 130,800 buah Bezza dan 75,800 buah Myvi baharu telah dikeluarkan oleh Perodua di Sungai Choh, Rawang, Selangor.

Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesuatu kenderaan harus mencapai atau menjangkaui kecekapan bahan api tertentu berdasarkan beratnya tanpa muatan, diuji mengikut piawaian UNECE R101.

Ketiga-tiga Axia, Bezza dan Myvi baharu mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.

Selain itu, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia.

Ia menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam me­ngurangkan kadar pelepasan pengeluaran dan menetapkan piawaian baharu dari segi kua­li­ti, pengurusan kos dan penghantaran.

“Kecekapan bahan api kenderaan menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api.

“Lebih-lebih lagi, kendera­an kami mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” kata Aminar Rashid.

Beliau berkata, EEV itu digabungkan dengan ciri-ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikal, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini menyediakan pakej mobiliti bernilai untuk semua lapisan masyarakat.

“Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda. Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×