Permulaan positif Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Permulaan positif Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas Kemboja sudah cukup memberikan tiga mata berharga buat skuad Harimau Malaya pada aksi pembuka tirai Kumpulan A kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Phnom Penh malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu sekali gus memberikan ke­legaan buat jurulatih negara, Tan Cheng Hoe selepas juara edisi 2010 itu turun dengan status sebagai pasukan pilihan.

Dalam aksi di Stadium Nasional, Phnom Penh, penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha­ muncul sebagai wira negara selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Pemain kelahiran Terengganu itu bijak memanfaatkan hantaran kapten Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak dengan mudah menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Vichet pada minit ke-30.

Pasukan bimbingan Cheng Hoe menguasai sebahagian besar perlawanan dan ber­upaya menggandakan kedudukan tetapi percubaan tepat Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh sekadar terkena palang gol pasukan tuan rumah.

Skuad kendalian Felix Agustin cuba memberikan tenta­ngan hebat dengan mengasak benteng pertahanan negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Bagaimanapun, Kemboja dilihat gagal menandingi persembahan pasukan kebangsaan yang mendominasi setiap posisi, sekali gus keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemena­ngan itu bakal memberikan suntikan moral kepada anak-anak buah Cheng Hoe ketika menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin ini.

Ujian sebenar Malaysia adalah pada perlawanan ketiga bertemu skuad pilihan, Vietnam di Hanoi (16 November) sebelum skuad Harimau Malaya menutup kempen Kumpulan A bertemu Myanmar di laman sendiri pada 24 November depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN