Permohonan secara tender - Utusan Malaysia

Permohonan secara tender

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Semua permohonan baharu tapak iklan paparan luar ‘billboard’ dan ‘unipole’ di ibu kota akan dilaksanakan se­cara tender terbuka berkuat kuasa Januari tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd. Zain ber­kata, selaras dengan tindakan itu, semua permohonan tapak baharu dan lesen iklan luar bagi tahun ini akan ditangguhkan sehingga tahun depan.

“Notis pemberitahuan untuk tidak melanjutkan pembaharuan lesen papan iklan ‘billboard’ dan ‘unipole’ telah dikeluarkan kepada 224 pemegang lesen mulai 1 November lalu.

“Tindakan ini bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih telus selain me-ningkatkan pendapatan DBKL sebanyak 15 peratus daripada RM4.6 juta hasil kutipan pada 2017,” katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Anwar berkata, melalui kaedah baharu itu pihaknya akan mengenakan sewa tapak ke atas mana-mana syarikat yang ingin mendirikan iklan di atas tanah milik kerajaan.

“Sebelum ini, DBKL hanya mengutip bayaran permohonan dan pembaharuan lesen iklan di tapak-tapak milik kerajaan, rizab kerajaan atau tanah persendirian mengikut saiz.

“Namun bermula tahun de­pan, bayaran sewa tapak akan dikenakan bagi tapak milik kerajaan menerusi bidaan mengikut lokasi dan keluasan selain perlu memohon dan memperbaharui lesen iklan daripada DBKL,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, DBKL telah me­ngenal pasti sebanyak 440 iklan paparan luar didirikan secara sah dan haram daripada 75 sya­rikat di sekitar ibu kota.

Sementara itu katanya, DBKL telah menurunkan sebanyak 665,596 iklan dan poster haram di seluruh ibu kota menerusi operasi-operasi sita iklan haram sejak Januari lalu.

“Iklan-iklan haram yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang, ubat kuat dan promosi produk itu menjadi salah satu punca imej ibu kota tercemar.

“Kami juga merekod dan me­laporkan nombor telefon yang dipapar pada iklan berke­naan untuk tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN