PERMATA pintar Negara cadang buka cawangan - Utusan Malaysia

PERMATA pintar Negara cadang buka cawangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG, 3 Nov.- Pusat PERMATA pintar Negara bercadang melebarkan sayapnya dengan penubuhan cawangan baharu bagi menampung lebih ramai pelajar yang mempunyai kecerdasan luar biasa.

Pengarahnya, Datuk Dr. Noriah Ishak berkata, namun cadangan bagi memgembangkan pembangunan modal insan kalangan pelajar terpilih terpaksa diketepikan buat sementara kerana menghadapi kekangan dana.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan seberapa ramai generasi atau anàk-anak pintar di persada dunia demi kepentingan negara.

“Sejak diwujudkan lebih 10 tahun lalu kita berjaya menempatkan 597 pelajar yang sebahagian besarnya berpeluang melanjutkan pengajian di universiti-universiti terkemuka di luar negara.

“Mereka bakal menjadi pemikir, teknokrat, penyelidik dab pemimpin ternama malah berpotensi mendapat pengiktirafan ‘nobel laureate,” katanya.

Dr. Noriah menyatakan demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas Forum Kenali Anak Pintar yang diadakan di sini, hari ini.

Selain Dr. Noriah, dua lagi panel dalam forum tersebut ialah Timbalan Pengarah Pusat PERMATAPintar Negara, Profesor Madya Dr. Rorlinda Yusof dan Penyelaras Pra Kolej dan Pencarian Bakat Kolej PERMATAInsan, Nor Adlyizan Theis.

Forum yang disertai oleh ibu bapa pelajar terpilih itu dianjurkan Persatuan Kebajikan Keluarga dan Pelajar Pintar Terengganu (PKKPPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Daerah Marang.

PERMATApintar mempunyai cawangannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi (Kolej PERMATApintar) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai (Kolej PERMATAInsan).

“Kolej ini merupakan program khas yang pertama di Malaysia untuk pelajar yang menunjukkan potensi intelek tinggi dalam bidang akademik,” tambah beliau.

Dr. Noriah yakin bidang pendidikan negara mampu bersaing dan sebaris dengan negara-negata ternama dalam tempoh 10 tahun lagi sekiranya usaha untuk memperkasakannya dilakukan secara konsisten oleh pihak kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu terus memberi keutanaan terhadap bidang pendidikan dengan menyediakan dana secukupnya bagi pembangunannya bermula di peringkat prasekolah lagi di samping memperkasakan sistem pembelajaran ke arah yang lebih baik.

“Buat masa ini bidang pendidikan kita di peringkat dunia masih lagi jauh ketinggalan berbanding negara lain”, katanya.

Program PERMATA mula dilaksanakan pada 2007 yang turut merangkumi PERMATA Negara, PERMATA Seni, Perkasa Remaja dan PERMATA Kurnia.

Ia memberi tumpuan terhadap usaha mendidik dan membimbing kanak-kanak pada peringkat awal sehingga remaja bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN