KANGAR – Konsep wakaf perlu diperluaskan supaya rakyat negara tidak berfikir sumbangan itu terhad kepada menyumbang tanah untuk kubur dan masjid semata-mata.
Pengurus Besar yang juga Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd. Nazri Chik berkata, wakaf memainkan peranan yang besar kepada masyarakat.
“Malah dianggap sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’ (potensi ekonomi yang senyap),” katanya kepada pemberita pada Seminar Kesedaran Zakat, Wakaf dan Muamalah Islam di Dewan Warisan di sini hari ini.
Wakaf bagi pembangunan ekonomi merangkumi pembelian alatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan ekonomi masyarakat, belian produk peniaga Islam termasuk pembinaan premis dan bangunan.
Majlis perasmian seminar itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais. – K! ONLINE










