Perlu tindakan tegas - Utusan Malaysia

Perlu tindakan tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
Ahli Parlimen yang telah dipilih dan dilantik perlu menjalankan segala tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Antara yang perlu dilakukan ialah dengan memastikan sentiasa berada dalam Parlimen sepanjang tempoh berkhidmat. Namun, sejak akhir-akhir ini kedengaran isu berkaitan dengan ketidakhadiran ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Tanpa kehadiran mereka akan menyebabkan sesuatu perkara penting tidak dapat dilaksanakan seperti proses kelulusan belanjawan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya tindakan tegas diambil oleh kerajaan serta pihak pentadbiran Parlimen bagi memastikan setiap 222 ahli Parlimen mengambil berat di atas isu kehadiran mereka.

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memotong gaji atau elaun ahli Parlimen yang terlibat sekiranya ketidakhadiran mereka tidak disertai dengan alasan munasabah seperti yang telah dicadangkan oleh banyak pihak.

Pihak kerajaan tidak perlu membazirkan wang cukai rakyat untuk membayar gaji dan elaun terhadap mana-mana ahli Parlimen yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka sebagai ahli Parlimen.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pengunaan teknologi tertentu khususnya yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri yang membolehkan mereka menjawab sebarang soalan kecil tanpa perlu berada dalam Dewan Rakyat.

Ini termasuk penggunaan video jarak jauh dan sebagainya.

Langkah ini seiring dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi yang dapat memberi kemudahan kepada semua pihak untuk saling berkomunikasi dengan lebih mudah dan pantas.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali jawatan Setiausaha Parlimen khusus bagi ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri bagi mewakili diri mereka serta timbalan menteri ketika menjawab soalan dalam Dewan Rakyat.

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan, USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN