JENERAL padang Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau lebih terkenal dengan panggilan Piya dikatakan bakal menyertai skuad Singa Utara pada musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan bekas pemain The Red Warriors (TRW) itu minggu lalu.
“Perlis amat berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu bagi memperkuatkan skuad Singa Utara untuk mengharungi saingan Liga Premier pada musim depan.
“Semasa rundingan itu dilakukan, kita telah mendapat maklum balas positif daripada Piya dan beliau kelihatan berminat untuk menyertai pasukan Perlis.
“Pengalaman dan keupayaan ‘arkitek’ itu amat perlu dan dapat memantapkan pasukan bola sepak kita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, bekas jeneral padang TRW itu menafikan dia akan berhijrah ke Terengganu FC I (TFC I) pada musim depan.
Beliau yang merupakan anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu menegaskan, berita penghijrahannya ke TFC I musim depan hanyalah khabar angin semata-mata.
Piya merupakan antara tunjang utama Kelantan meraih kejuaraan trebel pada 2012.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Amizal berkata, selain Piya, pertahanan pasukan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajudin juga menjadi sasaran Perlis musim depan.
“Kita juga mengadakan perbincangan dengan Amiridzwan bagi mendapatkan khidmatnya,” katanya.










