PUTRAJAYA 9 Nov. – Kerajaan akan melakukan reformasi perkhidmatan awam dengan menambah baik segala tadbir urus serta mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, pembaharuan itu perlu dilakukan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan awam di negara ini.
“Reformasi akan dilaksanakan di semua peringkat jawatan selain meningkatkan integriti, menguatkuasakan pengurusan kewangan awam yang berhemah dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
“Selain itu, konsep penyampaian perkhidmatan awam perlu segera berubah bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi dan Kecemerlangan (HIK) Jabatan Perdana Menteri 2018 yang bertemakan Inovasi Keunggulan Prestasi di sini semalam.
Menurut Ismail, bagi mencapai matlamat kajian separuh penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kerajaan perlu mempunyai sistem pentadbiran yang cekap, telus dan berkesan.
Untuk itu katanya, penjawat awam perlulah berfikir secara kreatif dan inovatif bagi menambahbaik proses kerja sedia ada dalam memberi penyampaian perkhidmatan yang efisien serta efektif.
“Dalam masa yang sama, penjawat awam perlu sentiasa mendukung prinsip integriti dan ketelusan dalam setiap tugasan yang dilaksanakan demi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
Mengulas mengenai HIK JPM 2018, Ismail berkata, program itu merupakan acara tahunan bagi memberi penghargaan serta pengiktirafan kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Melalui program ini, pengiktirafan diberikan kepada warga jabatan yang menyumbang kepada penghasilan idea berinovatif dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan serta kualiti perkhidmatan JPM.
“Sebanyak 17 jabatan dan juga agensi di bawah JPM telah menyertai pertandingan Anugerah Inovasi JPM 2018 yang mana sebanyak 21 projek yang dipertandingkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan 15 projek bukan ICT,” katanya.
Sementara itu katanya, lima anugerah menjadi rebutan kali ini iaitu Pertandingan Mencipta Montaj HIK JPM 2018, Anugerah Pencapaian Sukan dan Sosial, Anugerah Inovasi JPM 2018, Anugerah Pengurusan dan Anugerah Perdana.
“Paling menjadi tumpuan ialah Anugerah Perdana, anugerah itu diberikan kepada jabatan yang cemerlang dari aspek inovasi, pengurusan serta penglibatan sosial juga acara sukan secara keseluruhannya.
“Penglibatan jabatan dan agensi membuktikan komitmen dan kesungguhan warga JPM dalam meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan JPM agar menjadi agensi unggul dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berharap, anugerah dan penghargaan yang diberikan dapat menjadi pendorong serta pembakar semangat warga JPM dalam usaha meneruskan kecemerlangan dalam bidang tugas masing-masing.











