Perkampungan tradisi pesisir sungai tarikan pelancong - Utusan Malaysia

Perkampungan tradisi pesisir sungai tarikan pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 10 Nov. – Beberapa kampung tradisi di pesisir sungai Marang, khususnya Kampung Jenang, di sini akan dimajukan dengan produk ekopelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Sehubungan itu, fokus yang bakal diberi keutamaan ialah menyediakan pelbagai prasrana bagi keselesaan pengunjung dan meningkatkan daya tarikan serta promosi di samping penglibatan anggota masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, memandangkan Jenang juga terkenal dengan perusahaan tradisional, beliau berkeyakinan tinggi bahawa industri eko pelancongan mampu dikembangkan dan menjana ekonomi penduduk.

Oleh itu katanya, pelbagai aktiviti seperti menyusur Sungai Marang perlu turut dihidupkan semula.

“Kita memiliki banyak produk warisan di sepanjang sungai ini. Selain Kampung Jenang yang terkenal dengan pembuatan gula nisan dan menjahit atap nipah, selain produk air nira dan kelapa mataq dan pandan di Batu Putih.

” Ini merupakan antara produk yang boleh menarik para pelancong ke sini, bukan sahaja pelancong domestik tetapi juga pelancong asing”, katanya.

Sulaiman yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Amal Kekalkan Warisan Gula Nisan Amanah Raya Berhad di Kampung Jenang, di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam program Baik Pulih Bangsal Gula Nisan Pak Man Warisan Tok Nyadat ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Aamanah Raya Berhad, Nik Salina Nik Idris dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenang, Mustaffa Deraman.

Menurut Sulaiman, bagi membantu menghidupkan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Kampung Jenang, koloborasi antara kerajaan negeri dengan Amanah Raya mampu mengangkat industri ekopelancongan di Marang sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya akan sentiasa memberi fokus dan mengetengahkan perkara ini bagi memastikan ia menjadi realiti.

“Kita juga cadangkan perusahaan gula nisan di kampung ini dijenamakan sebagai Nisan Jenang bukan sahaja produk dikeluarkan oleh Pak Man Warisan Tok Nyadat, tetapi juga melibatkan semua pengusaha yang ada”, ujar beliau.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN