APA nasib golongan pesawah, pekebun sawit dan penoreh getah selepas ini? Golongan tersebut yang selama ini menerima pelbagai bentuk bantuan termasuklah subsidi baja dan sebagainya daripada kerajaan tertanya-tanya apakah mereka masih akan terus menikmatinya.
Kebimbangan itu timbul selepas bantuan-bantuan tersebut tidak diulas atau diperincikan dalam pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lalu. Belanjawan itu merupakan yang pertama dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam situasi harga komoditi sawit dan getah jatuh merudum sehingga memberi kesan kepada pendapatan, kebimbangan mereka ada asasnya.
Kerajaan sekurang-kurangnya perlu tampil memberi penjelasan, sama ada segala bentuk bantuan diberikan kepada pekebun, penoreh dan pesawah sebagaimana dilaksanakan semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN) diteruskan.
Perkara ini perlu ditangani secara serius. Jangan ketika kerajaan sibuk mahu memperbetulkan ekonomi negara yang didakwa ‘dirosakkan’ rejim terdahulu sehingga mengabaikan kebajikan para pekebun, penoreh serta pesawah.
Jangan dibiarkan golongan ini yang sememangnya bergantung sepenuhnya kepada hasil getah, sawit dan padi daripada terus ‘tertekan’ dengan situasi semasa.
Sekiranya segala bentuk bantuan yang dinikmati golongan itu tidak lagi disalurkan, kerajaan perlulah mempunyai kaedah strategik lain bagi membantu.
Ambil contoh pengumuman hari ini bahawa Elaun Sara Hidup kepada nelayan diteruskan tetapi menggunakan pendekatan berbeza berbanding secara tunai sebelum ini.
Sekurang-kurangnya golongan nelayan boleh menarik nafas lega bantuan kepada mereka diteruskan. Tetapi bagaimana pula pesawah, pekebun, penoreh?
Bukanlah bermaksud mahu ‘memanjakan’ golongan itu dengan subsidi atau bantuan, tetapi ada ketikanya atas faktor tertentu, mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi mencabar serta cuaca tidak menentu hari ini.










