Penulis pernah terserempak dengan sekumpulan remaja berbasikal di sebatang jalan raya di ibu negara. Waktu itu jam menunjukkan sekitar pukul 1.30 pagi. Dalam hati tertanya-tanya, di mana ibu bapa kanak-kanak ini? Tahukah mereka ke mana anak-anak mereka yang penulis kira berusia sekitar lapan hingga 12 tahun ini pergi?
Bayangkan jika berlaku kejadian yang tidak diingini misalnya terlibat kemalangan. Siapa yang perlu dipersalahkan? Kejadian seperti ini pernah berlaku di Johor Bahru tidak lama dahulu yang mengorbankan beberapa nyawa. Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak sedikit pun menyedarkan ibu bapa berhubung pentingnya memastikan anak-anak mereka tidak berada di luar rumah selepas tengah malam.
Justeru, apabila kerajaan Kelantan bercadang melaksanakan ‘perintah berkurung’ bagi remaja di negeri itu, penulis berharap ia mendapat sokongan semua pihak kerana percaya ia adalah langkah terbaik untuk mengatasi masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja kita.
Malangnya ada dalam kalangan ibu bapa memandang sinis cadangan tersebut dan tidak kurang yang menentangnya dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal, misalnya “ke mana anak-anak mereka ini hendak makan jika lapar di waktu malam?” atau “takkan nak makan burger di McDonalds pun tak boleh?”
Inilah sebenarnya masalah ibu bapa kita. Dilarang salah, tidak dilarang timbul pelbagai masalah. Diminta kawal anak-anak sendiri diberi alasan sibuk, bila orang lain yang mengawal anak-anak mereka, nanti dikira menyibuk.
Sebab itulah penulis sendiri menyambut baik cadangan yang dibuat oleh kerajaan Kelantan tersebut malah amat berharap ia turut dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat agar dapat dilaksanakan di seluruh negara.
Di Iceland, remaja berusia 13 hingga 16 tahun tidak dibenar berada di luar rumah selepas pukul 10 malam. Peraturan yang telah dilaksanakan lebih 20 tahun lalu itu telah berjaya mengurangkan masalah dadah, alkohol dan seks bebas dalam kalangan remaja di negara itu. Malah ibu bapa akan dikenakan denda jika ada anak-anak remaja mereka ditangkap berada di luar rumah.
Penulis tidak mengharapkan undang-undang yang begitu ketat seperti di Iceland tetapi cukup jika peraturan melarang remaja di bawah 15 tahun daripada berada di luar kawasan rumah selepas pukul 12 tengah malam dapat dilaksanakan. Jika perlu sekalipun, mereka hendaklah diiringi oleh ibu bapa sendiri, bukannya bersama rakan-rakan sebaya.
Sudah tentu apabila adanya peraturan tersebut, ia perlu disusuli dengan penguatkuasaan. Jangan nanti peraturan tinggal peraturan dan anak-anak remaja kita semakin bebas berkelakuan di luar rumah. Cegahlah sebelum semakin parah!










