KUALA LUMPUR 12 Nov.- Ibu bapa yang mahu menghantar anak ke pengasuh dinasihatkan melakukan pemeriksaan latar belakang mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Itu pesan Noraihan Ab Aziz, 22, iaitu ibu kepada Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, bayi 11 bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi mengetahui sedikit sebanyak perwatakan pengasuh serta keluarganya kerana dia tidak mahu penderitaan yang dialami Nur Muazara Ulfa berlaku terhadap bayi lain.
“Manusia kini tidak boleh dinilai dengan mata kasar. Kita tidak boleh jangka apa akan berlaku namun, seelok-eloknya ambil langkah berjaga-jaga seperti tanya dahulu dengan jiran mengenai keluarga pengasuh itu.
“Saya tidak mahu kejadian terhadap bayi saya berlaku pada anak orang lain. Kita harapkan dia jaga anak kita dengan baik namun sebaliknya terjadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Nur Muazara meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan kritikal dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, suami pengasuh yang positif methamphetamine berusia 36 tahun dan isterinya, 28 tahun dibawa ke Mahkamah Kajang direman selama lima hari bermula Sabtu lalu sehingga Selasa ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala iaitu tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan serta kesan penderaan seksual. – UTUSAN ONLINE










