NAMPAKNYA pengakhiran pemilihan PKR hujung minggu ini, tiada langsung sifat kekeluargaan atau sekadar pergaduhan adik-beradik seperti yang dicanang-canangkan oleh kepemimpinan PKR.
Menjelang dua hari terakhir pemilihan parti kerajaan itu bermula esok, warlord atau ‘panglima’ sama ada daripada calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahupun Rafizi Ramli dilihat tidak lagi mampu mengawal perasaan dalam memburu kedudukan parti.
Sarawak yang mempunyai lebih 40,000 ahli PKR bakal menjadi medan perhitungan terakhir buat Mohamed Azmin dan Rafizi untuk menentukan siapakah yang akan menjadi orang paling kanan bakal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang dilihat menyokong Mohamed Azmin, seperti Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya secara terbuka mengkritik Biro Politik PKR yang paling berpengaruh dalam parti, kerana menerima penambahan ahli secara mendadak di Cabang Julau, Sarawak.
Pertambahan mendadak daripada 600 ahli pada Jun lalu kepada 13,000 ahli di cabang itu, mengundang kritikan kerana melihat langkah itu dapat membantu Rafizi yang kini terdesak untuk memadamkan 3,000 kelebihan undi yang dimiliki lawannya.
Luahan Zuraida yang mendakwa seolah-olah terdapat tangan ghaib yang cuba mengawal proses pemilihan parti, sebenarnya adalah persepsi yang telah lama difahami oleh sesiapa sahaja, cuma tidak berani menuduh siapakah empunya tangan ghaib itu.
Kritikan turut dibuat ekoran kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ke Julau minggu ini atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri dengan turut diiringi oleh mereka yang menyebelahi Rafizi, termasuk Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.
Pemerhati politik melihat, sama ada lawatan Wan Azizah itu satu kebetulan atau tidak, ia seolah-olah menerbitkan isyarat mengenai siapakah pilihan sebenar pucuk pimpinan parti.
Orang PKR dan Pakatan Harapan cuba menepis dakwaan keluarga Anwar menyokong Rafizi, Anwar tidak mahukan Mohamed Azmin, Mohamed Azmin tidak sebulu dengan Anwar, bagaimanapun rakyat juga pandai menilai dan mempunyai pandangan tersendiri.











