PENGANUGERAHAN tertinggi, Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers yang diterima oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad daripada Maharaja Akihito baru-baru ini mengesahkan legasi beliau sebagai negarawan bertaraf global yang sukar dicari ganti.
PROFESOR ULUNG DATUK DR. SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN, Felo Akademi Sains Malaysia (FASc) menyifatkan anugerah tertinggi itu amat bermakna dan signifikan kepada Dr. Mahathir kerana pada 30 Ogos tahun depan, Maharaja Akihito yang berkuasa selama 29 tahun akan turun takhta bagi memberi laluan kepada Putera Mahkota Naruhito untuk ditabalkan sebagai Maharaja Jepun yang ke-126.
Semasa diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, SAHIDAN JAAFAR, beliau yang juga Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi secara berseloroh berkata: “Kalaulah saya Awang Selamat, penulis pojok Mingguan Malaysia saya akan berkata begini: Apakah Akihito ada memberitahu Tun Dr. Mahathir: “Berhentilah Ogos tahun depan bersama-sama saya. Serahkanlah kuasa itu kepada Datuk Seri Anwar. Saya pun berhenti!”.
MINGGUAN: Bagaimana Prof. melihat kepimpinan Dr. Mahathir yang dulunya pernah memerintah selama 22 tahun?
SHAMSUL AMRI: Semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, ada beberapa perkara yang kita kena lihat dan perhatikan termasuk soal stail kepimpinannya. Terutama, soal agama, soal parti, ekonomi, hubungan luar negara, dan penekanan beliau kepada kedudukan orang Melayu itu sangat penting.
Beliau sendiri secara langsung terlibat mengatur hal-hal ini. Jadi kali pertama beliau menjadi Perdana Menteri kita dapat melihat beliau merasa perlu membina institusi di luar pentadbiran kerajaan ketika itu.
Beliaulah orang yang bertanggungjawab mewujudkan Institut Kajian Strategik Malaysia (ISIS) pada 1983. Itu institusi yang pertama diwujudkan. Kedua, diwujudkan Malaysian Institute of Economic Research (MIER) pada 1985. Ketiga, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992.
Mengapa? Sebabnya, beliau perlu mendapatkan maklumat bebas dan maklum balas segera untuk menjadi asas polisi kerajaan pimpinan beliau ketika itu. Misalnya, Dialog Selatan-Selatan atau Langkawi International Dialogue adalah cetusan idea Tan Sri Noordin Sopiee. Malah, gagasan Wawasan 2020 itu pun datang dari ISIS Malaysia.
Saya masih ingat lagi membantu rakan-rakan seperti Prof. Madya Rustam A. Sani mengungkapan wawasan ini dalam bahasa Malaysia kerana kandungan asalnya dalam bahasa Inggeris.
Jadi, beliau mengelakkan pergantungan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau penjawat awam kerana merasakan terlalu banyak lapisan birokrasi yang boleh melambatkan apa sahaja cita-cita yang hendak dicapainya. Jadi, dengan adanya ISIS yang mengkaji hal ehwal negara, politik dan antarabangsa, MIER (Ekonomi) fokus kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara dan IKIM (Islam) mendalami proses pentadbiran agama Islam secara menyeluruh kerana ia di bawah kawalan negeri-negeri. Ketiga-tiga institusi ini memudahkan tugas beliau untuk bertindak dan melaksana dengan pantas jika diperlukan.
Mungkin ada yang kata kenapa tubuh IKIM sedangkan bidang agama di bawah kuasa Sultan?
SHAMSUL AMRI: Melalui kaedah ini, khususnya melalui IKIM, perkembangan syiar Islam yang tidak dikuasai oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi Islam dikuasai oleh Raja-Raja Melayu, boleh dipantau secara sistematis dan segera. Jadi, beliau memerlukan satu institusi yang membolehkan beliau memerhatikan apa yang berlaku ini dan bagaimana mencari ruang membina kefahaman mendalam yang bukan hanya mengenai keislaman bahkan tentang Sultan-sultan dan Raja-raja Melayu.
Pada pandangan saya sebagai seorang penyelidik, beliau tidak perlu mewujudkan ‘Institut Kefahaman Sultan’ tetapi cukup dengan IKIM kerana Islam itu dikawal oleh Raja-Raja Melayu. Ramai orang tidak nampak ini.
Dari situ saya sisipkan mengapa beliau tubuhkan IKIM. Pintar Dr. Mahathir ini. Dia tidak bercakap banyak tentang Islam tapi pantas memantau dan memahami mengenai Islam semasa. Kekuatan beliau selama 22 tahun itu, pada hemat saya, bertunjangkan tiga sendi ini – IKIM, MIER dan ISIS.
Apa sumbangan besar Dr. Mahathir melalui penubuhan tiga institusi ini?
SHAMSUL AMRI: Dalam tiga institusi inilah pakar-pakar dari seluruh dunia datang. Misalnya, projek Multi Media Super Corridor dan Cyberjaya konsep itu direka bentuk oleh tokoh-tokoh IT dari Silicon Valley. Sebenarnya, saya juga terlibat dalam projek ini secara kecil-kecilan, sebagai Ahli Majlis Teknologi Maklumat Negara 1999.
Ada juga terlibat berkait dengan kegiatan perpaduan nasional, anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ada lagi penglibatan lain semasa pemerintahan 22 tahun Dr. Mahathir sebab itu saya berani bercakap. Saya tahu bukan hanya fakta tetapi penglibatan dalam institusi-institusi ini. Memang kita tahu. MIER di bawah pimpinan siapa? Profesor Kamal Saleh telah dipilih. IKIM ketika itu dipimpin oleh Dr. Ismail Ibrahim. ISIS pula oleh Dr. Noordin Sopiee. Pada saya ini tokoh-tokoh hebat Malaysia.
Jadi maknanya walaupun tidak ada Council of Eminent Persons (Majlis Penasihat Kerajaan), tetapi ada institusi-institusi yang lagi kukuh dan berwibawa. Itu sebabnya ramai merasakan beliau seorang autoritarian. Pada saya itu karektor Dr. Mahathir selama 22 tahun yang pertama.
Sekarang, Dr. Mahathir kembali lagi sebagai Perdana Menteri melalui Pakatan Harapan (PH). Adakah gaya kepimpinan beliau sudah berubah berbanding dahulu?
SHAMSUL AMRI: Tanpa diduga, 15 tahun kemudian, Dr. Mahathir ditakdirkan menjadi Perdana Menteri semula buat kali kedua. Suasana politik kali ini sudah banyak berubah selepas pemerintahan dua perdana menteri, Tun Abdullah (2004) dan Datuk Seri Najib (2008). Sebenarnya, dari tahun 2004 sehingga tahun 2008 banyak perkara yang berlaku termasuk peranan Dr. Mahathir menyokong pembangkang kerana beliau tidak bersetuju dengan kepimpinan Tun Abdullah dan dengan Datuk Seri Najib. Dr. Mahathir tidak berhenti menduga, mencuba dan juga mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Pak Lah. Maknanya beliau tidak berkuasa sebagai autoritarian, dalam tempoh 15 tahun itu, tapi berkuasa sebagai public opinion maker. Dr. Mahathir memegang kuasa pembentuk pendapat umum mengenai pimpinan negara dan diterima oleh orang ramai.
Kalau tidak terima pun beliau menjadikan orang ramai ragu dengan kepimpinan negara ketika itu. Itu yang penting. Pertama, dipengaruhi terus menyokong. Kedua, dipengaruhi dan menimbulkan keraguan. Pada pandangan saya peratusan kesan yang menimbulkan keraguan itu jauh lebih besar kerana orang ramai masih lagi bergantung kepada pimpinan yang ada, duit ambil tapi ragu-ragu.
Bila Najib menjadi Perdana Menteri maka bermacam-macam isu telah timbul. Mungkin, 1MDB pada mulanya suatu hal kecil, sudah wujud lama. Ketika itu 1MDB dijadikan alat politik untuk mengumpul dana pilihan raya. Strategi dan tindakan mengumpul dana pilihan raya oleh parti politik sudah diketahui umum semenjak kes Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor (1975-1977). Beliau didapati bersalah dan dipenjarakan tetapi mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1981 yang diusahakan oleh Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Kegiatan bisnes 1MDB yang melewati fungsi mengumpul dana pilihan raya dan mempunyai beberapa lapis kegiatannya serta mempunyai jaringan antarabangsa luas. Kompleks 1MDB ini, terus bertambah kompleks ceritanya. Ramai yang belum faham sepenuhnya seperti kata penulis buku Billion Dollar Whale.
Seperti Prof. jelaskan, kemenangan Dr. Mahathir kali ini akibat berlakunya perpecahan orang Melayu. Boleh Prof, huraikan.
SHAMSUL AMRI: Pada saya, perubahan yang paling besar sekali ialah perubahan konteks, apabila beliau jadi Perdana Menteri kali kedua dan perubahan bagaimana boleh mengambil alih perhatian orang Melayu dalam UMNO. Ini kerana, faktor yang memenangkan Pakatan Harapan ialah sokongan orang yang dulunya menyokong BN termasuk orang UMNO itu sendiri. Lihat saja kawasan Felda, 54 kawasan yang dikuasai UMNO tinggal 17 kawasan sahaja yang menyokong UMNO. Ahli UMNO tak pernah kurang dalam Felda cuma tak undi UMNO oleh kerana percaya kepada Dr. Mahathir.
Maknanya, kepercayaan rakyat kepada Dr. Mahathir itu tak hilang walaupun dalam kuasa yang terbatas. Tapi, dalam keadaan orang Melayu yang berpecah, kuasa terbatas itulah boleh bertukar menjadi ‘kuasa besar’. Jadi, kalau Melayu itu sudah berpecah dengan Amanah, UMNO, Pas dan PKR, apa yang perlu hanya cetuskan sedikit untuk membakar dan mengalih perhatian.
Itulah kehebatan Dr. Mahathir bukan kerana beliau mendapat sokongan dan menang majoriti. Kita tahu Pakatan Harapan bukan menang majoriti yang besar. Maknanya, kejayaan kali kedua Dr. Mahathir ini kerana perpecahan orang Melayu. Bayangkan sekeping roti canai. Bila pecah UMNO pada 1987 dan tertubuh UMNO Baru pada 1988, UMNO bak sekeping roti canai terbahagi dua. Bila pada tahun 1998, penyokong Dr. Mahathir dan Anwar berpecah maka roti canai UMNO dalam tangan Mahathir tinggal seperempat.
Dalam Pilihan Raya Umum 1999, UMNO hampir merudum. Dr. Mahathir tahu kalau tidak berundur beliau akan tersingkir juga jika UMNO terus kalah dalam pilihan raya umum 2004. Kerana itu Dr. Mahathir terpaksa berundur dan bila dipujuk rayu maka beliau sambung jadi Presiden UMNO sampai 2003.
Walaupun tamat pimpinannya dalam UMNO, dan di luar UMNO selama 15 tahun, namun setidak-tidaknya kalau tak seperempat, anggaran seperlapan daripada roti canai UMNO masih dalam tangannya. Untuk kali ini, satu perlapan itu sudah cukup memenangkan beliau sehingga berjaya mengetuai kerajaan PH.
Macam mana Prof. melihat perkembangan politik dalam PH sendiri yang nampak agak celaru?
SHAMSUL AMRI: Pada saya jelas. Bila berlaku PRU Ke-14, baru kita tahu yang kecil itu boleh digunakan untuk menewaskan yang lain. Amanah (11 kerusi Parlimen) lemah, UMNO masih kuat (54 kerusi Parlimen), lebih kuat daripada PKR (47), dan DAP (42). UMNO lebih kuat daripada Pas (18) tapi mereka ini adalah dulu orang yang sokong UMNO.
Dari segi itulah pada peringkat kedua ini dan Dr. Mahathir pun tidak boleh bersifat arrogant kerana kerusi partinya terlalu kecil bilangannya. Kalau jumpa dalam mesyuarat ketua-ketua parti PH, betullah dia Perdana Menteri tetapi dia tahu ‘meriam’ dia cuma ada 13 sahaja, yang lain ‘meriam’ ada 47 pada PKR, dan 42 pada DAP dan macam-macam senjata lain lagi.
Ini realiti yang sebab itu beliau tak boleh berlebih-lebihan dan bersifat autoritarian. Seperti biasa, Dr. Mahathir ada benda yang dia hendak. Projek kereta 3.0. Masalahnya manifesto PH mengatakan tidak boleh buat projek mega. Kereta 3.0 ini mega projeklah bagi saya. Tawaran jaminan penerbitan bon Samurai Yen ini semua bertujuan untuk menarik projek pelaburan Jepun. Perdana Menteri Jepun sudah setuju beri pinjaman. Pada saya peringkat kedua ini Dr. Mahathir lebih fokus kepada apa yang menjadi minatnya. Ertinya apa?
Dr. Mahathir mengambil kesempatan bahawa menteri-menterinya semua tidak ada pengalaman. Nampaknya bukan saja Dr. Mahathir menjadi orang tua yang berpengalaman, berkuasa dan tahu semua. Dan kuasa itu datang dari faktor-faktor itu. Pada saya, kekuasaan itu datang daripada kekurangan orang lain.
Pada saya itu kekuatan Dr. Mahathir. Pertamanya daripada pengalaman, kedua daripada kekurangan pengalaman orang yang berada dalam Kabinet. Jadi Dr. Mahathir terpaksa bergantung kepada penjawat awam yang semenjak dulu taat setia mereka diragui Dr. Mahathir. Sebab itulah semasa beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun beliau mencipta MIER, IKIM dan ISIS kerana tidak percayakan penjawat awam.
Sekarang beliau terpaksa bergantung kepada penjawat awam selepas mengadakan pertukaran secara besar-besaran daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) sampailah ke bawah. Jadi orang dulu yang tidak ada mimpi, tidak reti membodek semua sudah naik pangkat.
Pada saya tempoh 22 tahun beliau memerintah dan ditambah dua tahun terakhir ini, amat berbeza sekali, tapaknya lain, rumahnya lain tapi seperti di Malaysia tiada perubahan struktur berlaku. Yang berubah ialah renovation (pengubahsuaian). Orang Malaysia suka renovasi rumah, tambah bilik, tambah perabot, peralatan baru, dapur dibesar. Struktur rumah tetap sama. Yang saya nampak renovation bukannya reformasi.
Sejauh manakah peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ini benar-benar menjadi kenyataan dan tidak akan berulang lagi peristiwa 1997/1998 sehingga tercetusnya reformasi jalanan di Malaysia.
SHAMSUL AMRI: Soalan ini merupakan soalan yang paling sensitif bukan kerana ia sensitif dan pernah berlaku tetapi kerana ia meminta kita membuat tekaan kepada suatu benda yang sedang bergerak. Meramal ini susah. Jadi, cuma apa yang saya dapat nyatakan daripada pemerhatian bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya jauh lebih senyap dan sabar daripada tahun 1998.
Situasi ini ibarat pepatah Inggeris: ‘Not rocking the boat’. Maknanya, Anwar ‘tidak mengoyang-goyangkan perahu besarnya’. Jadi tengok ucapan Anwar sekarang, sangat merendahkan diri walaupun Dr. Mahathir berkali-kali menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
Bezanya, Anwar itu lebih diam setelah menghayati pelbagai dugaan, iktibar dan pengajaran hidup. Kali ini, tidak ada lagi suara Zahid Hamidi bangkitkan nepotisme dan kronisme. Yang ada, Azmin Ali dan Rafizi. Kononnya Azmin ini disokong oleh Dr. Mahathir dan Rafizi oleh Anwar. Ini memang dari dulu kita semua tahu.
Tapi soal realiti politiknya tak semudah itu, tak boleh terus lantik Azmin kerana dia kena dapat persetujuan daripada semua orang dan diterima menjadi ketua. Kalau Azmin tidak jadi ketua PKR susah. Kalau dia menjadi ketua PKR itu lain ceritalah. Hendak ganti Anwar tidak boleh orang dari PKR, pada pandangan saya, kerana Anwar Ketua PKR yang sah sekarang. Dr. Mahathir tidak akan pilih Timbalan Presiden PKR menjadi Perdana Menteri kerana Anwar masih ada.
Ada ura-ura Ahli Parlimen UMNO akan melompat. Pandangan Prof?
SHAMSUL AMRI: Apa yang saya perhatikan lanjutan serta kestabilan PH ini juga berkaitan soal nombor. Dalam senyap-senyap orang dalam PH mempersoalkan macam mana kita membiarkan Dr. Mahathir memerintah negara ini daripada sebuah parti minoriti iaitu Bersatu.Kalau dia memerintah dua tahun lagi, apa nak jadi dengan menteri-menteri daripada Bersatu nanti? Apakah esoknya tiba-tiba semua menteri ini akan dikeluarkan? Tak mungkin. Sebab itu Dr. Mahathir perlukan orang berwibawa macam Tok Pa (Datuk Mustapha Mohamed). Kalau orang Anwar nak buang, kena fikir dua kali.
Rais Yatim sudah ada dalam Bersatu. Syed Hamid Albar dan beberapa yang lain rata-rata bekas menteri kabinet Dr. Mahathir dulu. Ramai lagi yang berkualiti yang perlu diambil. Ada ramai. Inilah orang yang ada, perlu bercakap sebelum Dr. Mahathir berhenti.
Bila ambil orang berkualiti orang Anwar tak boleh kata apa-apa. Persaingan sengit kononnya antara Anwar-Dr. Mahathir itu ialah bukan dari segi perebutan nombor semata-mata, ada faktor lain. Bagaimana untuk memperkukuhkan Bersatu dalam PH. Itu cabaran besar bagi Dr. Mahathir. Itulah sebabnya di sana sini orang bercakap mengapa Dr. Mahathir sengaja melengah-lengahkan persaraannya.
Tapi, kita jangan lupa bahawa, faktor atau keinginan keluarga Dr. Mahathir itu juga sangat penting. Semuanya meminta beliau berhenti. Anak-anaknya juga tidak mahu tengok ayah mereka masih bekerja keras dalam usia 93 tahun. Jadi, orang tak fikir soal peribadi dan emosi keluarga Dr. Mahathir. Bukan senang nak jadi Perdana Menteri kena bekerja 24 jam. Doktor tidak benarkan beliau tidur lewat. Dr. Mahathir mesti tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari. Dikhabarkan ini tidak berlaku.
Dr. Mahathir tidak mahu berehat, beliau hendak membaca, semua perkara hendak ditelitinya. Tidak memeranjatkan saya kalau keluarga beliau tidak mengizinkan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri selepas usia 95 tahun.
Pada hemat saya peralihan kuasa ini tetap akan berlaku. Kali ini Mahathir tidak boleh buat macam tahun 1998. Senario dulu lain, sekarang lain. Sekarang, isteri Anwar, Timbalan Perdana Menteri. Pada saya kali ini Dr. Mahathir akan tunaikan janjinya.










