Peranan besar Petronas dalam Belanjawan 2019 - Utusan Malaysia

Peranan besar Petronas dalam Belanjawan 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampaknya kerajaan baharu cukup berhati-hati dalam Belanjawan 2019. Gula-gula yang diharapkan oleh rakyat walaupun tidak sebesar pada belanjawan sebelum ini, tetapi ia masih ada, cuma saiz-nya sedikit kecil.

Hutang kerajaan yang men­ce­cah RM1.065 trilion sehingga akhir Jun 2018 telah memba­tas­kan pemberian gula-gula kepada rakyat. Inilah harga yang perlu dibayar oleh rakyat.

Bagaimana gula-gula mahu di­berikan jika tiada peruntukan. Bu­at pertama kalinya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sebagai antara penyumbang kepada pendapatan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada 2019, kerajaan dijang­ka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion yang merangkumi dividen khas Petronas iaitu sebanyak RM30 bilion untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Ini berikutan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyebabkan kerajaan hanya memperoleh hasil seba­nyak RM17 bilion. Oleh itu kerajaan perlukan RM30 bilion daripada Petronas untuk menampung kekurangan hasil setelah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ini jelas menunjukkan betapa Petronas merupakan satu daripada kantung wang negara yang utama apatah lagi harga minyak dunia kini telah mencecah AS$73 (RM303.7) setong.

ADS:D

Pada 30 Ogos lalu, Petronas te­lah menyemak semula jumlah pembayaran dividen untuk kerajaan kepada RM24 bilion tahun ini.

1. RAKYAT

BANTUAN Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dahulunya sangat dinanti-nantikan oleh rakyat pada setiap sesi pembentangan bajet, kini sudah tiada lagi. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memper­kenalkan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40. Bunyinya berbeza, tapi matlamat yang sama.

Bantuan tersebut dinaik­kan iaitu paling tinggi RM1,000 sehingga RM500 untuk isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,000 hingga RM3,001. Ada sedikit tambahan iaitu BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah.

Ia sedikit kelegaan, tetapi sebenarnya masih belum mencukupi dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil dan kos barangan yang meninggi. Kesan penggandaan dalam BSH akan sedikit kecil. Secara mudah, pemberian lebih banyak akan me­ningkatkan kuasa beli yang lebih.

Tetapi yang menarik ialah kerajaan mahu memperkenalkan subsidi minyak bersasar. Ia meliputi kereta 1,500 cc ke bawah atau motosikal 125 cc ke bawah. Pemilik akan mendapat subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan.

Kerajaan PH tidak memperincikan bagaimana subsidi ini dilakukan tetapi jangkaan pelaksanaannya pada suku kedua 2019. Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga pernah merancang untuk me­laksanakannya, tetapi akhir­nya tenggelam begitu sahaja.

2. KERAJAAN

NAMPAKNYA kerajaan banyak membicarakan tentang cukai pada belanjawan kali ini. Setelah merungut tentang hutang yang tinggi, kerajaan mahu mendapatkan kembali haknya.

Kerajaan juga dilihat cukup berhemat dalam perbelanjaan dengan menswastakan aset infrastruktur. Cadangan mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi lapangan terbang yang pertama di dunia.

Pelabur dalam skim ini akan memperoleh pulangan melalui fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi iaitu Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB). Ini membolehkan kerajaan berjimat daripada membiayai projek pembesaran lapangan terbang.

Beberapa tindakan berupa perundangan yang melibatkan LHDN juga diperkemaskan. Dengan kata lain kerajaan mahu mendapatkan seberapa banyak hasil yang selama ini cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu.

3. MERAPATKAN JURANG PENDAPATAN

INI merupakan cadangan yang unik dalam belanjawan kali ini. Satu peraturan kepada syarikat tersenarai untuk memaparkan maklumat di dalam laporan tahunan mengenai nisbah gaji tertinggi dan gaji median serta nisbah bayaran gaji tertinggi dan gaji terendah.

Ia kerana kerajaan tidak puas hati terhadap syarikat yang membayar gaji yang terlalu besar kepada pengurusan tetapi syarikat gagal memperoleh pendapatan yang tinggi.

Peraturan baharu itu memerlukan syarikat tersenarai menyatakan rancangan penambahbaikan mengenai kaedah purata gaji pekerja.

Pada belanjawan kali ini, semuanya nampak baik dan menarik di atas kertas. Namun terdapat kebimbangan sejauh mana pertumbuhan ekonomi akan dikongsi oleh masyarakat.

Begitu juga dengan pe­laksanaan beberapa peraturan baharu. Cuma apa yang boleh diharapkan ialah atas semangat Malaysia Baharu, maka kerajaan perlu memastikan kesejahteraan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN