IPOH – Lebih 200 penyokong setia bola sepak Perak hari ini berhimpun di hadapan stadium keramat mereka, Stadium Perak di sini bagi menyuarakan hasrat supaya Presiden Persatuan Bola Sepak (Pafa) sekarang digantikan.
Penyokong Perak, Mohd. Shirin Adnan, 44, berkata, mereka tidak mahu lagi orang politik seperti Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim memegang tampuk tertinggi badan bola sepak negeri itu selepas perbuatannya tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak minggu lalu.
“Kami sudah muak dengan orang-orang politik yang seolah-olah syok sendiri apabila meraikan kemenangan pasukan Perak menjulang Piala Malaysia dengan perbuatan tidak sepatutnya.
“Sehingga sekarang, sambutan meraikan piala tersebut bersama para pemain dan pengurusan serta penyokong masih belum diadakan walaupun sudah lebih seminggu kemenangan tersebut dicapai,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Tambah Mohd. Shirin, seharusnya Pafa ditadbir oleh orang yang tiada kaitan dengan politik selain mahir dalam selok-belok bola sepak seperti bekas Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian.
“Pengalaman beliau sebagai pemain dan pengurus Perak sebelum ini diyakini mampu membawa Pafa dan mengurus pasukan Perak lebih cemerlang.
Seorang lagi peminat bola sepak tempatan, Muhammad Khairul Muzzamil Mohd. Rudzlan, 33, pula menyatakan, para penyokong mahu campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sekiranya Hasnul Zulkarnain enggan melepaskan jawatannya.
“Kita akan hantar memorandum kepada Menteri Besar dalam masa terdekat agar dia digugurkan daripada Pafa.
“Walaupun dia sudah meminta maaf kepada penyokong bola sepak, kita mahu dia bertanggungjawab sepenuh kerana merendahkan dan memalukan negeri Perak atas perbuatannya itu,” katanya. – K! ONLINE










