JAKARTA – Seorang penyelam tempatan terbunuh dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas pesawat Lion Air yang terhempas di laut dan mengorbankan 189 orang, kata seorang pegawai semalam.
Syachrul Anto, 48, yang meninggal dunia kelmarin merupakan sebahagian daripada ahli pasukan pencarian badan dan serpihan pesawat penerbangan JT610 itu di Laut Jawa.
“Dia merupakan sukarelawan di Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas),” kata komander divisyen SAR, tentera laut Indonesia kepada AFP.
Allahyarham dipercayai meninggal dunia kerana penyahmampatan atau mengalami kesukaran bernafas.
Sebelum ini, Syachrul telah menyertai misi bantuan di Palu yang dilanda gempa bumi dan tsunami pada September lalu selain pernah mengikuti operasi SAR pesawat Air Asia yang terhempas di Laut Jawa pada 2015.
Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada pukul 6.20 pagi Isnin lalu.
Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi hari sama (waktu Indonesia Barat), dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas.
Pada Khamis lalu, Basarnas berjaya menemui Perakam Data Penerbangan (FDR) tetapi masih mencari kotak hitam kedua, Rakaman Suara Kokpit (CVR) yang boleh menjawab persoalan mengapa pesawat baru Boeing-737 MAX 8 itu boleh terhempas.
Setakat ini, 73 beg mengandungi cebisan mayat berjaya ditemui, namun hanya empat mangsa yang telah dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). – AFP











