TAMPA 1 Nov. – Sebelum ini, Parkinson sering dikaitkan dengan kemerosotan fungsi otak, namun para pengkaji kini mendapati penyakit itu berkemungkinan bermula di dalam usus, terutamanya apendiks iaitu organ kecil terletak berhampiran usus besar.
Dengan menggunakan data pendaftaran kesihatan di Sweden melibatkan kira-kira 1.7 juta orang selama 50 tahun dan set data Amerika Syarikat meliputi 849 orang, para pengkaji mendapati mereka yang membuang apendiks pada usia muda mempunyai risiko sehingga 19 peratus untuk menghidap Parkinson.
Penduduk di kawasan pedalaman Sweden yang kebanyakannya terdedah dengan racun serangga berdepan dengan risiko lebih tinggi untuk menghidap Parkinson iaitu sebanyak 25 peratus.
Ketua pengkaji, Viviane Labrie dari Institut Kajian Van Andel di Michigan berkata, kajian tersebut menunjukkan apendiks mungkin memainkan peranan dalam permulaan penyakit yang sukar untuk diubati itu.
Apendiks sering didakwa sebagai organ tidak penting dalam sistem tubuh manusia, namun pengkaji menyifatkannya sebagai tempat simpanan bakteria usus dan dikaitkan dengan tindak balas imun dan mengumpul protein utama yang mengakibatkan Parkinson dikenali sebagai alfa sinuklein.
Penghidap Parkinson juga sering mengalami masalah penghadaman seperti sembelit sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum beberapa tanda lain muncul seperti terketar-ketar, kebas dan badan rasa tidak seimbang.
Para pengkaji juga menemukan hampir semua responden mempunyai tanda-tanda pengumpulan alfa sinuklein dalam apendiks mereka.
Selain itu, pengkaji memaklumkan satu terapi ubat boleh dihasilkan untuk mengurangkan pengumpulan protein dalam apendiks, sekali gus mengurangkan risiko menghidap penyakit berkenaan. – AFP











