PARIT BUNTAR 14 Nov. – Pesawah di sini melahirkan kebimbangan ekoran serangan penyakit karah tangkai padi khususnya di Kampung Tanah Baru, Sungai Betul di Mukim Bagan Tiang.
Lebih membimbangkan serangan penyakit tersebut yang kini di peringkat permulaan ketika padi hampir masak selain beberapa kawasan lain diserang penyakit padi angin.
Ketua Unit Peladang Kampung Tanah Baru, Shamsuddin Sulaiman berkata, kawasan yang terjejas akibat serangan penyakit karah padi melibatkan kawasan seluas lebih 10 hektar yang mulai dikesan sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, serangan penyakit itu melibatkan padi jenis MR 284 dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Akibatnya pokok padi yang asalnya berwarna hijau kini mula bertukar kekuningan dan jika berbuah nanti, ia akan terencat dan hanya separuh yang berisi.
“Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan hasil akan kurang apatah lagi di kawasan berdekatan ada sawah yang diserang padi angin,” katanya ketika ditemui hari ini.
Karah padi ialah sejenis penyakit padi disebabkan oleh kulat dan penyakit ini boleh menyebabkan kehilangan hasil padi sehingga seratus peratus disamping menurunkan mutu padi. Ia merupakan penyakit bawaan biji benih.
Menurut Shamsuddin, petani dan kakitangan Jabatan Pertanian telah meninjau masalah itu dan difahamkan tidak ada racun untuk menghapuskan virus karah padi.
Katanya, antara kaedah untuk mengatasinya ialah dengan cara mengeringkan petak sawah bagi mengelak kulat yang menyebabkan penyakit berkenaan menyerang kawasan lain.
Jelas beliau, ini menyebabkan pesawah berada dalam dilema kerana ia akan menjejaskan hasil pendapatan musim ini sedangkan mereka telah mengeluarkan modal yang besar untuk proses menanam padi musim ini.
“Keadaan pastinya lebih sukar kepada pesawah yang menyewa sawah dengan kadar RM300 hingga RM600 bagi setiap satu ekar sawah,” katanya.










