Penuntut USM santuni masyarakat Orang Asli - Utusan Malaysia

Penuntut USM santuni masyarakat Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Nov. – Kira-kira 50 sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini melalui pengalaman berbeza dengan menabur bakti kepada komuniti Orang Asli.

Program Suksis Journey to East itu diadakan di Kampung Leryar, Pahang, pada 3 hingga 6 November lalu bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli di samping membina persaudaraan antara pelajar dengan komuniti tersebut.

Menurut Pegawai Penyelaras Suksis USM, Abdul Ghani Muhammad Ali, program itu juga diharap dapat membentuk nilai dan jati diri penuntut USM terhadap semua golongan masyarakat di negara ini.

“Anggota Suksis USM mestilah dilatih untuk lebih pe­ka terhadap isu-isu dalam masyarakat supaya mereka mempunyai jiwa dan perasaan bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.

Tambah Abdul Ghani, selain dengan komuniti Orang Asli, program itu juga dapat membina hubungan lebih kukuh antara Suksis USM de­ngan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Sementara itu, bagi Pe­ngarah projek tersebut, Siti Nazirah Hussin, pengalaman selama tiga hari dua malam bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Leryar memberi peluang kepada peserta mempelajari pelbagai perkara baharu.

“Sebagai pelajar, kami menyedari perlu sentiasa peka dan matang terhadap isu-isu kemasyarakatan termasuklah terhadap komuniti Orang Asli tanpa sebarang prejudis,” katanya.

Tambah Siti Nazirah, Suksis USM memilih untuk melawat komuniti Orang Asli kerana menginginkan kelainan untuk kali ini berbanding program-program yang lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN