Penunggang semakin kurang ajar? - Utusan Malaysia

Penunggang semakin kurang ajar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
AKIBAT daripada tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) memansuhkan subsidi minyak beberapa tahun lalu, ramai pengguna jalan raya bertukar daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal.

Walaupun ada juga yang beralih kepada pengangkutan awam, rata-rata pengguna jalan raya memilih motosikal sebagai pengangkutan ke tempat kerja bagi menjimatkan kos minyak harian sementara kereta hanya digunakan untuk aktiviti keluarga.

Susulan itu, jalan raya di seluruh negara khususnya di bandar-bandar besar kini dibanjiri penunggang motosikal. Saya tidak mempunyai perangkaan terkini tetapi saya yakin jualan motosikal melonjak dengan mendadak sejak subsidi minyak dihapuskan.

Perkembangan ini membawa kepada masalah baharu iaitu ‘persaingan’ lorong antara motosikal dengan kenderaan lain khususnya kereta memandangkan hampir semua jalan dan lebuh raya di negara ini tiada lorong khas untuk motosikal.

Sudah berbuih mulut saya dan ramai lagi meminta Kerajaan BN dahulu mewajibkan pembinaan lorong motosikal untuk jalan atau lebuh raya baharu tetapi tiada siapa yang peduli.

Adakah Menteri Pengangkutan dan kerajaan baharu kini akan mengambil kisah cadangan itu? Kemungkinan besar tidak, selagi tiada ‘manfaat’ peribadi, maka terpaksalah kita semua ‘hadap’ apa jua yang mungkin berlaku kelak.

Masalah utama sekarang adalah sikap penunggang motosikal yang semakin kurang ajar malah boleh dikatakan cukup ‘samseng’ kerana tidak mahu ‘berkongsi’ lorong dengan kenderaan lain.

Sudahlah menyelit di mana sahaja ada ruang, melawan arus, menunggang di tengah-tengah lorong paling kanan malah ‘selamba’ melanggar kenderaan lain tanpa berhenti memohon maaf. Paling menyakitkan hati, trend baharu menekan hon bertalu-talu kerana tidak mahu berhenti seterusnya menghalang kenderaan lain menukar lorong.

Cuba lihat waktu puncak dalam kesesakan lalu lintas, cukup susah kenderaan lain menukar lorong kerana ribuan motosikal mencelah tetapi langsung tidak memberi ruang sekalipun lampu isyarat menukar lorong sudah lama diberikan.

Memang akan ada hujah bukan semua penunggang motosikal begitu tetapi cukup ramai daripada mereka ini memang ‘naik tocang’ seolah-olah mereka anak tuan punya jalan atau lebuh raya tersebut. Apakah Kerajaan Pakatan Harapan mampu (atau mahu) mengubah trend ini?

EX-RIDER

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN