HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut manakala pembonceng pula cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa, S. Ashok, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Y125ZR dan kereta jenis Hyundai Atos berhampiran Serendah Golf.
Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa bersama seorang penumpang dalam perjalanan menghala ke arah Rawang dari Antara Gapi.
“Setibanya mangsa di lokasi kejadian, kereta Atos dipandu seorang wanita berusia 57 tahun itu tidak sempat untuk mengelak motosikal yang memasuki laluannya dari arah bertentangan.
“Impak daripada perlanggaran itu telah menyebabkan penunggang motosikal tersebut yang beralamat di Taman Garing Utama, Rawang meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, penumpang motosikal seorang lelaki berusia 22 tahun itu pula mengalami cedera pada bahagian mata manakala pemandu kereta patah jari tangan kanan menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.
Bak Phai berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










