ALOR SETAR – Kerajaan Kedah hari ini mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 diberikan kepada semua penjawat awam lantikan negeri bagi Gred 54 dan ke bawah pada Disember ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Belanjawan 2019 negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
“Bayaran ini khas sebagai menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam negeri selain membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya.
Menerusi pengumuman itu seramai 4,416 penjawat awam lantikan tetap dan 322 lantikan kontrak akan mendapat manfaat itu.
Semasa pembentangan belanjawan itu, Mukhriz turut berharap agar rakyat memahami keadaan sebenar serta menyokong iltizam kerajaan negeri dalam memakmurkan Kedah dan mensejahterakan kehidupan rakyat.
“Berbekalkan doa daripada seluruh rakyat, serta niat yang kukuh, marilah kita bernaung di bawah satu pakatan dan sederap menuju harapan berjaya,” katanya. – Bernama










