KUANTAN – Seorang peniaga sayur tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan di Cameron Highlands pada tiga tahun lalu.
Menurut kertas pertuduhan, Teong Tong Lai, 33, dituduh memberi rasuah RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Ops Gading, Sanifah Yusof dari Majlis Keselamatan Negara pada pukul 9.30 malam, 13 Mei 2015.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Coffee House Hotel Heritage, Tanah Rata sebagai dorongan kepada Sanifah untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kebun sayur yang diusahakannya secara haram di Hutan Simpan Terla, Tanah Rata.
Bagi pertuduhan itu, Tong Lai dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau nilai yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sejurus pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Zainal Abidin memohon mahkamah menetapkan nilai jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.
Dalam pada itu, peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili tertuduh memohon penetapan nilai ikat jamin yang lebih ringan memandangkan Tong Lai perlu menanggung perbelanjaan membesarkan dua anak kecil.
Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib kemudian menetapkan nilai jaminan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
– K! ONLINE










