Pengorbanan Bagnaia akhirnya berbaloi - Utusan Malaysia

Pengorbanan Bagnaia akhirnya berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Juara dunia Moto2, Francesco Bagnaia mendedahkan bahawa dia menangguhkan impiannya untuk beraksi dalam kategori utama MotoGP semata-mata untuk muncul juara dalam kelas Moto2 terlebih dahulu.

Bagnaia yang beraksi bersama Akademi Valentino Rossi muncul sebagai pelumba baharu Moto2 terbaik musim lalu mene­rima tawaran beraksi dalam perlumbaan MotoGP, namun menolak tawaran itu.

Alasan utama yang diberikan Bagnaia adalah untuk mengutip pe­ngalaman dan optimis untuk muncul juara dalam saingan Moto2 dan pelumba Itali itu mengotakan janjinya apabila bergelar juara dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Ahad lalu.

Ekoran kejayaan itu, pelumba yang beraksi bersama pasukan Sky Racing Team VR46 itu dinaikkan pangkat untuk beraksi bersama pasukan Pramac Ducati musim hadapan dan akan bergandingan dengan Jack Miller.

“Saya berpeluang untuk beraksi dalam perlumbaan utama MotoGP lebih awal tetapi bila difikirkan lebih baik saya menangguhkan tawaran itu untuk muncul juara dalam perlumbaan Moto2.

“Jika saya menyertai pasukan Pramac lebih awal dan tanpa sebarang kemenangan dalam sai­ngan Moto2, sudah pasti ramai orang di luar sana akan mempersoalkan perkara ini.

“Ketika itu saya akui pasukan saya antara yang terbaik dan mempunyai jentera yang berdaya saing selepas mampu memperbaiki keputusan yang diraih pada musim lalu. Musim lalu saya menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan.

“Saya berjaya muncul juara dunia dan sa­ngat berpuas hati kerana matlamat kini tercapai sebelum menyertai pasukan MotoGP dengan hati yang terbuka,” kata Bagnaia.

Dalam pada itu, Bagnaia tidak mahu meletakkan sebarang sasaran dalam tahun pertamanya bersama Ducati, sebaliknya mahu mendapatkan rentak terbaik sebelum memikirkan soal kemenangan.

“Sudah pasti berpindah ke kelas yang lebih tinggi adalah cabaran yang berbeza. Jadi, saya akan bermula dari bawah untuk mendapatkan keserasian untuk mengemudi jentera MotoGP,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN