TANAH MERAH – Polis menahan seorang penganggur dan merampas 6,000 biji pil kuda bernilai hampir RM100,000 dalam satu serbuan di Kampung Manal di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Jenayah dan Pasukan Khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah menahan seorang suspek berusia 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 34 biji pil berwarna merah disyaki pil kuda dalam poket seluar suspek.
“Selain itu polis menemui 30 peket plastik bewarna biru mengandungi pil kuda sebanyak 6,000 biji dalam beg sandang yang dibawa suspek.
“Polis merampas dadah yang anggaran berat keseluruhan 660 gram dan melalui hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Suzaimi berkata, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Demak Evo Z dan wang tunai bernilai RM 2,500 untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Perlucuthakan Harta) 1988.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori. – K! ONLINE










