Pengalaman Zainal jadi taruhan Melaka United musim depan - Utusan Malaysia

Pengalaman Zainal jadi taruhan Melaka United musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kredibiliti dan pengalaman luas dalam mengendalikan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan faktor utama Melaka United memilih Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatihnya yang baharu musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tawaran tersebut membuka peluang kepada legenda bola sepak negara itu untuk membuktikan kemampuannya mengemudi pasukan berkenaan untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Menurutnya, sebelum ini pihak pengurusan Melaka United telah menyenaraikan beberapa calon, antaranya, jurulatih Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), K. Devan dan bekas jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Presiden Musa, Adly Zahari yang juga Ketua Menteri Melaka lebih mempercayai kemampuan dan pengalaman Zainal Abidin, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Musa sedang menyediakan kontrak untuk jurulatih berusia 59 tahun itu dan dijangka akan memulakan tugas pada pertengahan bulan ini.

Zainal Abidin yang pernah membimbing Pulau Pinang, Selangor dan Pahang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan yang memilih untuk tidak menyambung kontrak.

Sementara itu, Adly berkata bajet pasukan untuk musim depan dihadkan tidak melebih RM18 juta.

“Meskipun jumlah perbelanjaan pada tahun depan kecil, namun kita tetap mementingkan kualiti permainan dan membuat sasaran bagi memenangi piala dan berada dalam kelompok pasukan terbaik,” katanya.

Melaka United mengakhiri saingan Liga Super tahun ini di tempat ketujuh berbanding kelapan liga musim 2017 daripada 12 pasukan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini