PASIR PUTEH 7 Nov. – Lima keluarga yang terputus hubungan akibat banjir di Kampung Tok Kundur, dekat sini, menerima bantuan khas bagi meringankan bebanan mereka hari ini.
Sumbangan wang tunai sebanyak RM200 bersama bakul makanan disampaikan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab. Pattah Hasbullah kepada ketua keluarga terlibat tengah hari ini.
Ab. Pattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Banjir Jajahan berkata, sumbangan itu akan meringan bebanan perbelanjaan 26 ahli keluarga yang kebanyakannya adalah penoreh getah dan petani.
Menurutnya, Kampung Tok Kundur mudah ditenggelami air kerana lokasinya rendah berhampiran Sungai Buaya Ikat, dekat sini.
“Lazimnya penduduk kampung ini paling awal dipindahkan apabila daerah ini diisytiharkan banjir.
” Mereka kini terputus hubungan kerana sekeliling kampung mereka digenangi air sedalam 0.5 hingga satu meter namun masih bertahan di rumah masing-masing.
“Saya nasihatkan agar semua penduduk di sini mematuhi arahan agensi penyelamat untuk berpindah sekiranya keadaan banjir berada pada paras kritikal,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pasir Puteh, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar dan Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar. – UTUSAN ONLINE










