KUALA LUMPUR – Penambahan sebanyak 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bangunan kerajaan mampu meningkatkan jumlah serta produktiviti wanita dalam pasaran kerja sehingga 30 peratus, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.
Beliau berkata, langkah itu bertepatan dengan usaha kerajaan menyediakan fasiliti bagi ibu bekerja yang gusar untuk meninggalkan anak mereka dalam jagaan pengasuh dan khuatir dengan risiko keselamatan anak mereka.
“Peruntukan RM10 juta bagi menambah 50 taska yang diumumkan pada Belanjawan 2019 itu adalah usaha terbaik untuk membantu mereka (wanita bekerjaya) lebih dekat dengan anak serta berupaya memantau anak-anak mereka secara lebih kerap.
“Ini penting kerana kita tidak mahu prestasi golongan wanita yang berpotensi dalam pasaran kerja ini terjejas kerana bimbangkan keselamatan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyediakan peruntukan RM10 juta untuk menambah 50 Taska bagi meringankan bebanan ibu bekerja, di samping terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta untuk tujuan sama.
Kadar semasa penyertaan wanita dalam tenaga kerja hanya berada pada paras 53.5 peratus bagi 2017 berbanding 77.7 peratus bagi lelaki.
Daripada jumlah yang tidak bekerja, 60 peratus atau 2.6 juta wanita memaklumkan bahawa bebanan kerja di rumah adalah sebab utama mereka tidak menyertai pasaran kerja. – Bernama










