IPOH 5 Nov. – Pemuda Pas Perak menyokong keputusan melucutkan keanggotaan ahli perniagaan, Koon Yew Yin sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Akmal Kamaruddin berkata, Yew Yin membuat dakwaan yang sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Menurutnya, Yew Yin juga membuat tuduhan berat bahawa campur tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk tidak meneruskan lantikan beliau.
“Pemuda Pas Perak mengecam tindakan biadab taikun DAP, Yew Yin yang secara terang dan jelas mencemarkan institusi diraja Perak.
“Tindakan Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian rakyat terhadap sultan malahan seolah-olah mencabar kontrak sosial yang telah dimenterai dalam Perlembagaan yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Pemuda Pas Perak bersetuju dan merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan tepat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengambil keputusan tidak meneruskan khidmat Yew Yin menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negeri.
Menurutnya, walaupun Yew Yin penyuntik dana politik dalam Pakatan Harapan, namun ia bukanlah membolehkan beliau mengatakan sewenang-wenangnya.
“Pemuda Pas Perak menggesa Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada Sultan Perak.
“Dalam masa sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindak balas negatif,” katanya. – UTUSAN ONLINE










