Pemilik syarikat pengurup wang dipenjara, denda RM65,000 - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat pengurup wang dipenjara, denda RM65,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASAH 2 Nov. – Seorang pemilik syarikat pengurup wang dihukum penjara sehari dan denda RM65,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan membabitkan operasi perniagaannya, tahun lalu.

Mohd. Reezudeen Abdul Salam, 27, dituduh menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen dan bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan pelekat iklan di premis perniagaannya tanpa kelulusan bertulis Bank Negara Malaysia (BNM).

Hakim Junaidah Mohd. Isa turut memerintahkan Mohd. Reezudeen dipenjara lima minggu jika gagal membayar denda bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. Dia bagaimanapun, membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, pemilik syarikat Fathima Warisan Enterprise itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di RST 1, Giant Hypermarket Senawang di sini antara 4 Ogos 2017 hingga 17 Ogos 2017.

Pegawai Pendakwa dari BNM, Edward Chan Wei Heng, Kesinee Aiyalu dan Tan Pheng Chew mengemukakan pendakwaan bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) akta sama dengan hukuman yang serupa.

Berdasarkan fakta kes, empat pegawai BNM pergi ke premis perniagaan tertuduh untuk membuat kiriman wang ke Indonesia masing-masing pada pukul 10.30 pagi, 4 Ogos 2017 dan 11.40 pagi, 17 Ogos 2017.

Serbuan dijalankan pada pukul 12 tengah hari, 17 Ogos 2017 dan siasatan mendapati syarikat Fathima Warisan Enterprise tidak pernah diberikan lesen menjalankan perniagaan kiriman wang selain tidak diberikan kelulusan bertulis menggunakan perkataan ‘kiriman wang ke Indonesia’ pada pelekat iklannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN