Pemilik kereta mewah, jangan haraplah - Lim Guan Eng - Utusan Malaysia

Pemilik kereta mewah, jangan haraplah – Lim Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Pemilik kereta mewah dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc jangan harap untuk menikmati subsidi minyak bersasar seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019, semalam.

Beliau berkata, mekanisme pemberian subsidi bahan api tersebut masih dalam kajian dan hanya akan dilaksanakan dalam tempoh suku kedua tahun depan.

“Sebenarnya kita sedang bincang sebab yang paling mudah adalah isi rumah berpendapatan rendah (B40) tapi kalau golongan itu sahaja, mungkin anda di sini tidak mendapat faedah.

“Atas sebab itu kita hendak mengkaji untuk memperluaskan supaya kita tak hanya had kepada B40. Tetapi saya boleh tegaskan di sini bahawa yang menaiki kereta mewah jangan haraplah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Semalam, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika membentangkan Belanjawan 2019 berkata, Pakatan Harapan (PH) melalui manifestonya telah berjanji untuk memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

“Atas rasa keprihatinan, kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik janji tersebut dengan memberi subsidi kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN