KOTA KINABALU – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mengukuhkan kedudukannya di Sabah selepas memenangi enam cabang pada fasa kedua pemilihan parti peringkat negeri Sabah hari ini.
Mohamed Azmin merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi berjaya memperoleh 3,469 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli yang sekadar memungut 2,021 undi.
Berdasarkan keputusan setakat pukul 6.30 petang ini, bekas Menteri Besar Selangor itu mendapat sokongan di cabang Kudat (831 undi), Putatan (383), Ranau (574), Beluran (128), Silam (669) dan Papar (374).
Sementara itu, Rafizi pula meraih sokongan di tiga cabang iaitu Penampang sebanyak 207 undi, Semporna (355) dsn Kimanis (317).
Bagaimanapun, keputusan bagi cabang Kota Belud, Tenom, Pensiangan dan Kinabatangan masih belum diperoleh.
Direkodkan, hari ini berlangsungnya fasa kedua pemilihan PKR Sabah di 13 daripada 25 cabang negeri ini secara serentak.
Ia melibatkan cabang Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar.
Sementara baki 12 cabang seperti Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan selesai semalam. – K! ONLINE










