KUCHING – Proses pemilihan PKR Sarawak kecoh selepas penyokong Rafizi Ramli di cabang Petra Jaya tidak berpuas hati susulan arahan yang dikeluarkan untuk menunda pengundian pada esok.
Tindakan itu menyebabkan calon bagi Ketua Cabang Petra Jaya, Iswardy Morni membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Tiga di sini pukul 2 petang tadi.
“Saya tidak puas hati kerana perubahan tarikh pemilihan ditukar kurang 24 jam seperti yang dijadualkan.
“Ia menyebabkan ramai pengundi yang tidak sedar pertukaran tarikh itu datang ke pusat pemilihan di Dewan Seri Liny di Jalan Haji Taha di sini pada pagi tadi,” katanya tadi.
Turut membuat laporan berhubung insiden sama ialah dua pengundi dari kumpulan yang menyokong Rafizi.
Laporan polis itu dibuat ke atas Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPP) dan JPP Sarawak.
Menurut Iswardy, pemilihan PKR di Sarawak sepatutnya berlangsung selama sehari sahaja iaitu pada hari ini, namun pada saat akhir, JPP mengarahkan pemilihan dibuat masing-masing pada hari ini dan esok.
“Kami percaya wujud campur tangan pihak atasan PKR berhubung perubahan tarikh pemilihan pada saat-saat akhir itu bertujuan mensabotaj sokongan terhadap Rafizi.
Pada masa sama, Iswandy bercadang mahu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Isnin ini, memohan agar siasatan dilakukan jika berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa dalam pemilihan kali ini. – K ONLINE!










