Pemilihan PKR: Azmin dahului Rafizi dengan majoriti 1,642 di Sabah - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR: Azmin dahului Rafizi dengan majoriti 1,642 di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 5 Nov. – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar tunggalnya, Mohd. Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu di 25 cabang di Sabah yang berlangsung selama dua hari yang berakhir semalam.

Cabang yang mengadakan proses pemilihan itu ialah Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Kota Marudu, Sandakan, Libaran, Batu Sapi, Tawau, Kalabakan, Keningau, Sipitang, Beaufort, Putatan, Penampang, Kimanis, Papar, Tenom, Pensiangan, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beluran, Kinabatangan, Silam, dan Semporna.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendahului Mohd. Rafizi yang merupakan bekas Anggota Parlimen Pandan dengan majoriti 1,642 undi.

Mohamed Azmin yang merupakan penyandang jawatan itu memperoleh 11,466 undi, manakala Mohd Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mendapat 9,824 undi.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan menerusi laman sesawang itu turut menyaksikan Mohamed Azmin menang di 14 cabang iaitu Keningau, Libaran, Sepanggar, Sandakan, Beaufort, Tawau, Kalabakan, Kudat, Putatan, Papar, Ranau, Tenom, Beluran, dan Silam.

Mohd. Rafizi pula menang di 11 cabang iaitu Kota Marudu, Tuaran, Batu Sapi, Kota Kinabalu, Sipitang, Kota Belud, Penampang, Kimanis, Pensiangan, Kinabatangan, dan Semporna.

Dalam kenyataannya menerusi laman sesawang itu juga, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) 2018, Datuk Rashid Din dipetik sebagai berkata, JPP hanya akan memuktamadkan keputusan bagi kesemua 25 cabang di Sabah yang menjalankan proses pengundian itu setelah Peti Undi Ragu dibuka. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN