KENINGAU – Seorang lelaki parah selepas lori tangki minyak yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbakar di Ulu Bariawa Jalan Kimanis di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi tersebut, mangsa, Ismail Dahlan berusia 49 tahun mengalami pendarahan dalam perut tetapi, kini dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintenden Lee Nyuk Kim berkata, sebelum insiden mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menghala ke Keningau.
“Bagaimanapun, semasa menuruni bukit di lokasi kejadian secara tiba-tiba lori yang membawa muatan minyak diesel itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar bukit.
“Akibat kemalangan tersebut lori itu terbakar sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami kecederaan,” katanya hari ini.

Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah memberitahu, seramai sembilan anggota dan dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Keningau bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.33 pagi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah foam manakala mangsa yang parah diberikan rawatan awal oleh anggota Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Keningau,” jelasnya.- K! ONLINE











