GUA MUSANG 7 Nov. – Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Nissan Almera yang dipandunya berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta di Kilometer 71, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang jurujual, Ng Jiunn Jye, 20, dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kenderaan.
Manakala, seorang lagi mangsa yang memandu kereta jenis Peugeot, Nurulhasanah Abdul Rahman, 28, yang merupakan seorang guru hanya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa yang tinggal di Kampung Baru di sini dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan yang dipandunya berpusing atas jalan lalu merempuh sebuah kereta jenis Peugeot yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, pemandu kereta Peugeot dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang itu tidak sempat mengelak selepas kenderaan dipandu mangsa berpusing.
“Kereta itu berpusing beberapa kali dan terus terbabas merempuh sebuah lagi kereta menyebabkan mangsa meninggal dunia ditempat kejadian.
“Pemandu wanita yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah Mohd. Taufik, sekumpulan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang turut dikerahkan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes kemalangan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










