KOTA KINABALU – Seorang pekerja swasta maut manakala penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) parah selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit di Jalan Tuan Fuad Stephen berdekatan Masjid Bandaraya Likas di sini malam tadi.
Dalam kejadian lebih kurang 9.30 malam itu, mangsa, Karbi Ali, 24, yang memandu kereta terbabit disahkan meninggal dunia sejam selepas kemalangan ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dekat sini.
Sementara itu, rakan wanitanya yang berusia 23 tahun pula dilaporkan kritikal dan masih dalam pemerhatian zon merah di hospital terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum insiden kereta tersebut dalam perjalanan dari arah 1Borneo, Sepanggar menuju ke Pusat Bandaraya Kota Kinabalu di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan mangsa disyaki hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar pokok serta terhumban ke dalam parit kecil di pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu pemandu dan wanita yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan tersepit namun, berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat,” katanya hari ini.
Tambah Habibi, kedua-dua mangsa seterunya dihantar ke HQE 2 dekat sini rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pemandu disahkan meninggal dunia lebih kurang 10.34 malam tadi ketika menerima rawatan di zon merah manakala wanita itu pula dilaporkan masih kritikal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Habibi meminta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Traffik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Inspektor Nurul Farhana Fadzil (013-809 0954) atau Balai Polis Traffik berhampiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – K! ONLINE










