KEMAMAN 14 Nov. – Seorang pemandu maut apabila lori yang sarat dengan muatan ikan terbabas dalam kemalangan di kilometer 327.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Kerteh awal pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.20 pagi apabila lori yang dipandu menghala ke Kuala Terengganu itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan, sebelum terbalik dan terjunam ke dalam longkang.
Dalam kejadian itu, Ahmad Shakir Abdullah @ Ghazali, 35, yang tercampak keluar dan cedera parah pada bahagian kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan selepas mengambil bekalan ikan untuk dihantar ke sebuah kilang di Kuala Terengganu.
Mangsa berasal dari Telaga Daing, Seberang Takir Kuala Terengganu dan bekerja dengan dengan sebuah syarikat pengeluar keropok.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE










