KEMAMAN – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 327.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, Ahmad Shakir Abdullah @ Ghazali, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Difahamkan pemandu yang bekerja dengan syarikat keropok SeaMep itu dalam perjalanan menghantar bekalan ikan ke sebuah kilang memproses keropok di Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, lori yang sarat dengan muatan ikan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas merempuh penghadang lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali.
“Impak kemalangan mengakibatkan pemandu lori itu tercampak keluar dan kenderaan yang dipandunya terjunam ke dalam longkang lebuh raya.
“Mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE










