Pemain bola sepak P. Pinang mula terima cek tunggakan gaji hari ini - Utusan Malaysia

Pemain bola sepak P. Pinang mula terima cek tunggakan gaji hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 5 Nov. – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menjelaskan kesemua pemain pasukan berkenaan yang tidak menerima gaji sejak empat bulan lalu mula menerima cek masing-masing hari ini.

Presidennya, Dr. Amar Pritpal Abdullah berkata, kelewatan dua minggu berbanding tempoh yang dijanjikan berpunca daripada kertas kerja yang dihantar kepada bahagian kewangan negeri tidak memenuhi syarat dan dikembalikan kepada FAP.

Jelas beliau, cek berkenaan merupakan pembayaran bagi tunggakan dua bulan yang keseluruhan melibatkan jumlah RM1.5 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi pemain berketurunan India yang  akan menyambut Deepavali pula, kita mengeluarkan cek tunai pada hari ini ,” katanya di sini hari ini.

Dr. Amar Pritpal yang memenangi jawatan Presiden FAP September lalu sebelum ini berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji empat bulan pada 18 Oktober lalu, namun perkara berkenaan tidak dapat dilaksanakan sehingga mencetuskan cemuhan kepada persatuan di media sosial.

Beberapa pemain skuad Harimau Kumbang sebelum ini memberitahu Utusan Malaysia mereka menghadapi masalah kewangan apabila menerima panggilan pihak bank yang menuntut supaya  pinjaman perumahan dan kereta diselesaikan.

Mengulas lanjut, Ar. Amar Pritpal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap berkata, pihaknya akan menyelesaikan tunggakan baki dua bulan lagi dalam tempoh terdekat.

“Kita akan buat kertas kerja untuk dihantar kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan untuk kelulusan dan berharap segalanya lancar,” katanya.

Beliau memberitahu, FAP berdepan masalah kewangan yang serius termasuk gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain bebanan hutang bermula 2016 sehingga tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN