GAZA CITY 14 Nov. – Pergerakan Hamas menyifatkan peletakan jawatan Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, hari ini sebagai kemenangan politik untuk Gaza selepas tidak bersetuju dengan gencatan senjata dicapai antara Israel dan pejuang Palestin.
Peletakan jawatan itu disusuli dengan langkah Parti Yisrael Beitenu yang diketuai Lieberman keluar daripada perikatan parti kerajaan sekali gus meletakkan Parti Likud pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu hanya mempunyai majoriti satu kerusi di Parlimen.
Situasi itu menurut Lieberman memungkinkan pilihan raya awal diadakan di Israel namun jurucakap Parti Likud menolak andaian tersebut dengan memberikan faktor keselamatan sebagai alasan.
“Tidak ada kewajipan untuk mengadakan pilihan raya pada masa keadaan keselamatan adalah tidak stabil,” kata jurucakap itu. – AFP










