Peletakan jawatan Hasnul ditolak - Utusan Malaysia

Peletakan jawatan Hasnul ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESYUARAT khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menolak peletakan jawatan presiden, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang menghantar surat permohonannya semalam.

Hasnul

Naib Presiden merangkap Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, barisan Exco telah me­ngadakan mesyuarat semalam dan sebulat surat menolak permohonan tersebut.

Sehubungan itu katanya, PAFA memberi masa selama 14 hari kepada Hasnul sebagai tempoh bertenang, sekali gus dapat mempertimbangkan keputusan yang telah diputuskan oleh barisan Exco tersebut.

Menurut Muhammad Yadzan, PAFA masih memerlukan khidmat beliau untuk menerajui persatuan bola sepak tersebut pada musim depan.

“Tempoh yang diberikan ini berdasarkan keadaan gelombang yang tidak menentu melibatkan dirinya. Kami masih memerlukan beliau kerana melihat pelan induk (blueprint), kesungguhan dan misinya untuk pasukan bola sepak Perak.

“Tidak dinafikan kelebihan beliau sebagai ahli politik dan hubu­ngannya dengan kerajaan negeri juga merupakan salah satu faktor kami menolak peletakan jawatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA di Ipoh semalam.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri mengumumkan peletakan jawatannya Khamis lalu selepas memegang tampuk tertinggi badan bola sepak negeri itu sejak 21 Julai lalu.

Keputusan tersebut dilakukan apabila beliau mahu memberikan tumpuan penuh kepada tugasnya sebagai Exco kerajaan negeri dan karier politiknya.

Terdahulu, penyokong tegar bola sepak Perak yang mahu Hasnul melepaskan jawatan tersebut selepas tindakannya disifatkan tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus baru-baru ini.

Dalam mesyuarat sama, PAFA turut menerima surat peletakan jawatan Timbalan Pre­siden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang turut berhasrat untuk melepaskan jawatan tersebut Khamis lalu.

Menurut Muhammad Yad­zan, berdasarkan permohonan itu, Adly Shah mahu memberi tumpuan penuh kepada kerjaya serta perniagaannya dan PAFA me­nerimanya secara sebulat suara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN