Pelbagai menu ayam kampung - Utusan Malaysia

Pelbagai menu ayam kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masakan air tangan ibu kini bukan sahaja boleh dinikmati di rumah, malah ia juga boleh dinikmati di restoran. Rasa sebegitu yang dapat diungkapkan tatkala merasai keenakan sajian tradisional Melayu di De Sambal Ayam Kampung, tempat letak kereta bawah tanah, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Restoran ini menawarkan kepelbagaian hidangan seperti masakan Melayu asli pada siang hari dan masakan ala Thailand dan Barat pada waktu malam yang menarik minat penggemar lauk kampung serta masakan Thai .

Pemiliknya, Mohd. Aminuddin Ibrahim berkata, restoran tersebut merupakan idea bersama rakan kongsinya, Mohd. Rimi Ismail. Mereka menghasilkan pelbagai jenis menu makanan yang enak dan lazat menepati cita rasa rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Gandingan anak kelahiran Kelantan ini menjadikan bakat dan pengalaman selama 15 tahun dalam dunia masakan menjadi inspirasi mereka membuka restoran di tengah-tengah ibu kota.

Apatah lagi, kebanyakan hidangan di restoran ini mendapat sentuhan air tangan mereka sendiri. Mengetengahkan makanan tradisional Melayu sebagai hidangan utama, De Sambal menawarkan aneka sambal seperti tempoyak, budu, hijau, belacan, tomato, kicap dan lain-lain.

De Sambal turut menampilkan lauk utama, ayam kampung sama ada masak berempah, percik, lemak, goreng atau gari. Lauk tradisional lain turut menggamit selera seperti gulai kawah daging, telur itik masak lemak, siput sedut, siput lala, sotong goreng masak kunyit, sambal udang, gulai ikan patin, daging goreng dendeng, sambal sotong, sambal ikan bilis dan 40 jenis menu termasuk ikan masin.

Orang ramai juga pastinya tertarik dengan keenakan masakan sayur kampung seperti sayur pucuk paku, nangka, pucuk ubi, pucuk manis, tauge ikan masin dan daun labu. Makan tengahari anda juga pasti berselera dengan variasi aneka ulam-ulam segar termasuk ulam pegaga, ulam petai, jering, kerdas, kacang bendi, kacang botol dan timun.

Restoran tersebut beroperasi setiap hari mulai pukul 11 pagi hingga 10 malam. Lauk ayam kampung hanya dihidangkan sehingga 4 petang manakala masakan Barat dan Thailand sehingga 10 malam. Sementara itu, nasi lemak berharga 50 sen turut dijual pada pukul lima petang hingga 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN