Pelarian Rohingya enggan pulang - Utusan Malaysia

Pelarian Rohingya enggan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COX’S BAZAR 15 Nov. – Keraguan pelarian Ro­hing­ya terhadap rancangan penghantaran pulang sebahagian mereka ke kampung halaman di Myanmar jelas kelihatan hari ini apabila tiada seorang pun mahu berbuat demikian.

Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam berkata, daripada 50 keluarga Rohingya yang ditemu bual, ke­semuanya enggan dihantar pulang ke negeri Rakhine kerana mereka berasa tidak selamat untuk ber­ada di sana.

“Berdasarkan maklumat yang diterima da­ripada sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tiada seorang pun pelarian Rohingya yang bakal dihantar pulang me­nyatakan kesediaan mereka untuk balik ke Rakhine.

“Mereka secara jelas me­nyatakan rasa bimbang jika ke­selamatan diri masih terancam seperti keadaan sebelum ini,” katanya.

Namun, Mohammad Abul ti­dak menyatakan sama ada pro-ses penghantaran tersebut akan diteruskan atau sebaliknya.

Beliau menjelaskan kerajaan Bangladesh tidak akan memaksa pelarian Rohingya untuk kembali ke Rakhine dan hanya mereka yang bersedia serta secara suka­rela mahu berbuat demikian akan dihantar pulang.

Bagaimanapun usaha untuk menghantar pelarian Rohingya pulang masih mendapat bantahan beberapa badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana me­reka tidak yakin dengan tahap keselamatan di Rakhine.

Bangladesh sebelum ini me­rancang untuk menghantar kira-kira 150 daripada 2,260 pela­rian Rohingya sebagai kumpulan pertama ke Rakhine.

Dalam pada itu, Ketua Komu­niti Rohingya, Nur Islam memberitahu bahawa 99 peratus ke­luarga yang berada dalam se­narai untuk dihantar pulang telah melarikan diri ke beberapa kem pelarian lain.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah anggota tentera Bangladesh yang ditempatkan di kebanyakan kem pelarian Rohingya menimbulkan keresahan golongan minoriti tersebut.

“Banyak anggota tentera dan polis ditempatkan dalam beberapa kem pelarian dan mereka se­ring memeriksa kad pengenalan pelarian Rohingya. Keadaan kini sangat teruk dan tegang,” jelas­nya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence semalam menyelar pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi bahawa keganasan serta penindasan terhadap etnik Rohingya dilakukan ‘tanpa sebab’ sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN