Pelancong teruja masuk masjid - Utusan Malaysia

Pelancong teruja masuk masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 12 Nov. – Biarpun terpaksa me­layan keletah dua anak­nya, Johanna tetap tekun mendengar penerangan mengenai Masjid Kapitan Keling di sini yang disampaikan kepada para pelancong yang melawat rumah ibadat itu.

Sesekali saintis dari Jerman itu bertanya soalan mengenai sejarah masjid serta pergerakan dalam solat kepada Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Kamarudin Abdullah.

Ketika dihampiri, Johanna berkata, dia berkelana ke Si­ngapura dan Malaysia bersama dua anaknya selama tiga ming­gu dan masjid itu adalah yang pertama dikunjungi di Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya baru tiga hari tiba di Pulau Pinang dan amat tertarik dengan seni bina masjid ini sebelum tiba-tiba dijemput untuk masuk dan melihat sendiri apa yang ada di dalamnya oleh kakitangan masjid.

“Ini adalah satu pengalaman baharu buat saya dan berjaya mengubah salah faham saya tentang Islam selama ini kerana sebagai seorang beragama Kristian di Jerman, kami sering diberi maklumat salah tentang Islam,” katanya yang mengakui terharu apabila menerima hadiah senaskhah al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris daripada Kamarudin.

Perasaan sama dikongsi seorang pelancong dari Vietnam dikenali sebagai Andy yang mengakui teruja apabila dibenarkan melawat persekitaran majlis tersebut.

Dia yang diminta memakai kain pelikat ketika berada di ruang legar masjid juga sependapat dengan Johanna dan me­ngakui tertarik dengan ritual solat yang dilakukan.

“Saya diberi taklimat tentang wuduk dan solat yang merupakan satu pengalaman baharu buat saya kerana tidak didedahkan dengan perkara ini di Vietnam.

“Pastinya saya teruja melihat pergerakan dalam solat yang amat berdisiplin serta memiliki falsafah tersendiri. Saya akan belajar lebih mendalam tentang perkara ini apabila pulang nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Kamarudin memberitahu, program Dakwah Jalanan tersebut adalah aktiviti bulanan yang dijalankan IPSI dengan memberi fokus kepada masyarakat bukan Islam serta pelancong asing yang mengunjungi negeri ini.

Jelasnya, aktiviti berkenaan dijalankan di beberapa lokasi tumpuan pelancong dengan tema berbeza setiap bulan dan ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Aktiviti sebegini memberi kefahaman tentang Islam kepada pelancong asing dan mengelakkan persepsi buruk mereka tentang Islam yang sering dimomokkan sebagai agama keganasan di Barat.

“Pada masa sama, kami juga mengadakan Jelajah Masjid di Masjid Kapitan Keling yang membuka ruang kepada pelancong asing melihat bukan sahaja seni binanya yang unik tetapi juga diajar tentang waktu solat, wuduk dan pergerakan solat itu sendiri,” katanya.

Kamarudin mengakui jalan dakwah bukan sesuatu yang mudah, namun perlu dijalankan pada setiap masa dengan semua orang Islam menunjukkan contoh terbaik selari dengan konsep rahmat untuk sekalian alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×