Pelajar pendidikan khas raih dua pingat emas - Utusan Malaysia

Pelajar pendidikan khas raih dua pingat emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 14 Nov. – Seorang pelajar pendidikan khas, Mohammad Nizamudin Ismail, 17, mengharumkan nama negara apabila memenangi dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge for Youth with Disabilities di New Delhi, India, minggu lalu.

Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 1 di sini meraih pingat emas bagi kategori e-Tools (individu) dan e-Contents (berpasukan).

Pengetua sekolah tersebut, Mokhtar Husin berkata, Mohammad Nizamudin berjaya mengetepikan peserta dari 23 negara terkenal dalam penguasaan teknologi maklumat antaranya United Kingdom dan China.

“Ini merupakan kali pertama sekolah ini mencipta nama di peringkat antarabangsa malah antara pencapaian tertinggi Negeri Sembilan di peringkat global.

“Saya terkejut sebaik dihubungi dari India memaklumkan Mohammad Nizamudin dinobatkan sebagai peserta terbaik pertandingan itu sedangkan kami tiada pengalaman di peringkat antarabangsa sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, P. Gunasekaran.

Mokhtar berkata, Mohammad Nizamudin membawa pulang wang tunai berjumlah AS300 (RM1,257) masing-masing bagi kategori individu dan berpasukan.

Sementara itu, Mohammad Nizamudin memberitahu, dia membuat persediaan untuk menyertai pertandingan itu sejak dua tahun lalu dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga, sekolah serta guru yang banyak memberi dorongan dan bimbingan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN