JOHOR BAHRU 13 Nov. – Kekurangan fizikal akibat masalah osteoporosis sejak lahir tidak menghalang seorang calon berkeperluan khas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai di sini, hari ini.
Seawal pukul 7 pagi, Syed Muhammad Syd Hashim, 17, yang juga orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda dibantu bapanya, Syd Hashim Syed Othman, 51, hadir ke sekolah berkenaan bagi menjalani peperiksaan SPM.
Syd Hashim berkata, biarpun memiliki kekurangan daripada fizikal ekoran tidak boleh menggerakkan sendi tulang namun tidak mematahkan semangat anak bongsu daripada dua beradik berkenaan menghadapi peperiksaan.
“Walaupun ada kekurangan, anak saya tetap bersemangat malah menganggap dirinya seperti rakan normal yang lain.
“Dia ambil lapan subjek untuk SPM dan alhamdulillah berdasarkan keputusan percubaan yang lalu dia mendapat keputusan yang baik dan saya doakan agar dia dapat menjawap dengan tenang,” katanya ketika ditemui di SMK Taman Universiti.
Syd Hashim yang juga bekas jurutera mengambil keputusan untuk bersara lebih awal pada usia 45 tahun demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap anaknya itu.
Jelasnya, anaknya tidak mampu menguruskan diri sendiri seperti OKU yang lain berikutan mempunyai kekangan untuk menggerakkan sendi-sendi tulang dan segala urusan akan dibantu ahli keluarga termasuk makan perlu disuap serta memakai baju.
Menurut Syd Hashim, sejak anaknya bersekolah di tingkatan satu, dia menguruskan makan minum serta menghantar serta mengambil anaknya pulang dari sekolah malah setiap waktu rehat akan ke sekolah bagi menyuapkan makanan kepada anak kesayangannya itu.










